Pejabat Perdana Menteri buat laporan polis berkaitan berita palsu, fitnah PM | DagangNews Skip to main content

Pejabat Perdana Menteri buat laporan polis berkaitan berita palsu, fitnah PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pejabat Perdana Menteri hari ini membuat laporan polis terhadap Agenda Daily dan dua lagi portal berita kerana menyiarkan berita didakwa palsu dan fitnah berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Dalam laporan polis berkenaan menyebut dua lagi portal berita terlibat adalah The Malaysia Life dan blog Dialog Rakyat.

 

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohammad Anuar Mohd. Yunus berkata, ketiga-tiga portal berkenaan dengan sengaja dan tidak beretika dalam membuat laporan salah dengan niat jahat serta mencemarkan nama baik Perdana Menteri, selain menyebarkan kenyataan palsu, sekali gus menimbulkan kegusaran kepada rakyat.

 

"Artikel di Agenda Daily bertajuk Ismail Sabri Bimbang Jadi PM Paling Singkat, Rayu Jangan Tarik Sokongan disiarkan pada 30 Januari 2022 dan diulang siar The Malaysia Life dengan tajuk Ismail Sabri Rayu Jangan Tarik Sokongan, Bimbang Jadi PM Paling Singkat, serta daripada dialograkyat.blogspot dengan tarikh dan tajuk pada hari sama iaitu Ismail Sabri Rayu Jangan Tarik Sokongan Bimbang Jadi PM Paling Singkat," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pukul 2 petang tadi.

 

Mohammad Anuar berkata, kenyataan itu dimanipulasikan oleh ketiga-tiga portal tersebut daripada kenyataan sebenar Perdana Menteri ketika ditanya pemberita semasa satu majlis di Bera pada Sabtu, 29 Januari 2022.

 

Katanya, pada sidang akhbar tersebut pemberita daripada ketiga-tiga portal tersebut tidak kelihatan.

 

 

PM

 

 

"Laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik ketiga-tiga portal tersebut yang memutarbelitkan, menyiar dan menyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri serta menimbulkan kegusaran rakyat. - DagangNews.com