Pekat Group beli 60% pegangan ekuiti Apex Power Industry berharga RM96 juta | DagangNews Skip to main content

Pekat Group beli 60% pegangan ekuiti Apex Power Industry berharga RM96 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pekat Group Bhd akan membeli 60% pegangan ekuiti dalam Apex Power Industry Sdn Bhd dengan harga RM96 juta.

 

Apex Power dan anak syarikatnya, EPE Switchgear Sdn Bhd merupakan antara pengeluar alat suis elektrik voltan sederhana terbesar di Malaysia, dan juga terlibat dalam aktiviti pembuatan, kejuruteraan dan projek dalam sektor kuasa.

 

Dari segi pecahan pembayaran, Pekat berkata, 10% atau RM9.6 juta akan dibayar sebagai deposit, manakala 60% atau RM57.6 juta akan dibayar sebagai bayaran tranche pertama tertakluk kepada terma yang dipenuhi, dan baki 30% atau RM28.8 juta akan dibayar sebagai jumlah pengekalan.

 

"Apex Power menyediakan jaminan keuntungan agregat tidak kurang daripada RM48 juta untuk tempoh gabungan dalam tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY24) hingga FY26," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pekat percaya, jaminan keuntungan agregat adalah realistik, dengan mengambil kira buku pesanan EPE Switchgear yang belum dibilkan adalah kira-kira RM204.32 juta pada 17 Julai 2024.
 

Syarikat itu juga berkata, pengambilalihan itu sejajar dengan objektif pengembangan perniagaan dan strategi pertumbuhannya dalam jangka panjang untuk mewujudkan kehadiran dalam sektor perniagaan peralatan pengagihan kuasa.

 

"Sempena pengambilalihan itu, syarikat akan mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen perniagaan baharu kerana dijangkakan lebih 25% daripada aset bersih syarikat akan dialihkan ke segmen perniagaan baharu ini," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, Pekat berhasrat memasarkan dan mengintegrasikan produk serta perkhidmatan sedia ada dengan pelbagai peralatan pengagihan kuasa yang dipasarkan di bawah jenama "EPE"

 

Pembelian akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

Pada pukul 2.45 petang, sham Pekat naik dua sen atau 2.6% kepada 98 sen memberi permodalan pasaran sebanyak RM632.1 juta. - DagangNews.com