Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Kadar pengangguran pada Oktober kembali meningkat kepada 4.7% setelah 4 bulan berturut-turut mencatat penurunan apabila ia merekodkan paras tertinggi pada Mei, 5.3%.
Malah, penganalisis juga bimbang dengan situasi berkenaan tambahan pula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula pada 14 Oktober lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menurut MIDF Research, kadar tersebut masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan tempoh sebelum pandemik iaitu 3.3% pada Februari memandangkan perniagaan belum beroperasi dengan kapasiti penuh.
Walaupun penduduk bekerja meningkat kepada 15.21 juta, tertinggi dalam tempoh 7 bulan tetapi data terbaharu Jabatan Perangkaan menunjukkan 183,600 pekerja buat sementara waktu tidak bekerja.
Jumlah itu meningkat berbanding 100,700 pada September 2020.
"Kumpulan ini secara dasarnya tidak diklasifikasikan sebagai menganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk kembali bekerja.
"Jika kita mengambil kira kumpulan ini sebagai pengangguran, kadar ini akan meningkat lebih daripada 1% kepada 5.8% berbanding paras ketika ini, 4.7%," katanya dalam nota kajian.
Dalam statistik terbaharu Jabatan Perangkaan, negara mencatatkan bilangan tertinggi bagi mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu dengan sejumlah 5.9 juta orang semasa PKP pada April 2020.
Kumpulan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka berpotensi untuk kembali bekerja.
Berdasarkan kepada tekanan dalam pasaran buruh ekoran meningkatnya bilangan mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu dan kadar pengangguran yang tinggi, firma penyelidikan itu bimbang mengenai prospek dalam pemulihan pasaran pekerjaan.
"Dengan pelaksanaan semula PKPB dan PKPD di beberapa kawasan, kami jangkakan pemulihan tenaga buruh kekal lemah dalam beberapa bulan akan datang.
MIDF Research menjangkakan kadar pengangguran tahun ini akan berlegar sekitar 4.3% berbanding 3.3% pada tahun lalu memandangkan ia mengambil masa untuk kembali ke paras sebelum tercetusnya wabak ini.
Sementara itu, Affin Hwang Capital mengekalkan unjuran kadar pengangguran bagi tahun ini antara 4.5 hingga 4.7% dengan mengambil kira situasi ekonomi yang masih berisiko dan memberi kesan kepada pasaran buruh.
"Pasaran buruh akan terus menerima impak jika jangkitan COVID-19 semakin meningkat dan langkah-langkah membendung wabak ini diperketatkan lagi," katanya.
Menurut firma itu, pekerja dalam sektor pelancongan masih terjejas memandangkan sempadan antarabangsa ditutup dalam tempoh ini.
Pasaran pekerjaan dalam sektor pelancongan menyumbang 23.6% kepada keseluruhan pasaran tenaga buruh, katanya.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kehilangan pekerjaan banyak tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, yang juga merekodkan jangkitan positif COVID-19 tertinggi di dalam negara.
"Tenaga buruh hanya akan kembali pulih sekiranya sekatan PKPB mula longgar. Bagaimanapun, dengan langkah penjarakan sosial memandangkan kes makin tinggi, risiko untuk mengelakkannya masih berterusan," katanya.
HLIB menjangkakan pertumbuhan ekonomi tahun ini akan menguncup 5.5% dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 pula disemak semula kepada 6% berbanding 6.5% sebelum ini. - DagangNews.com