KUALA LUMPUR 11 Jun – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dipilih sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia berdasarkan Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 yang diterbitkan baru-baru ini.
PTP juga telah memperoleh tempat teratas di rantau Asia Tenggara dalam indeks CPPI yang dibangunkan oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence.
CPPI adalah berdasarkan set data paling luas setakat ini, meliputi 405 pelabuhan di seluruh dunia.
Pada tahun sebelumnya, PTP berada di kedudukan keenam di peringkat global.
Prestasi pelabuhan diukur melalui kecekapan masa pusingan kapal, yang dikenali sebagai Jumlah Jam Pelabuhan - tempoh keseluruhan dari kapal tiba ke sempadan pelabuhan, stesen nakhoda, atau kawasan jangkauan, sehingga berlepas dari dermaga selepas menyelesaikan pertukaran kargonya.
Menurut laporan CPPI, PTP telah menerima 3,655 panggilan kapal dan mencapai skor indeks sebanyak 158.32 pada tahun 2023.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kedudukan lima terbaik di dunia menunjukkan usaha PTP untuk meningkatkan keselamatan, kecemerlangan operasi dan penambahbaikan berterusan benar-benar membuahkan perubahan.
Katanya, ia juga meningkatkan prestasi PTP di seluruh rantaian bekalan dan membolehkan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.
“Sebagai terbaik di Asia Tenggara, PTP bukan sahaja mengukuhkan status sebagai hab pemindahan paling sibuk dan terbesar di Malaysia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan sebagai pintu masuk perdagangan yang penting untuk seluruh rantau ini walaupun di tengah-tengah persekitaran perkapalan global yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Che Khalib dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada para pekerja PTP yang bekerja keras atas pencapaian cemerlang ini selain berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang menyokong PTP.
ARTIKEL BERKAITAN: PTP kukuh kedudukan sebagai pelabuhan paling sibuk di Malaysia selepas catat pengendalian kontena melebihi 1.07 juta TEU sebulan
Baru-baru ini, PTP mengumumkan pencapaian baharu operasi dengan menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang mengendalikan rekod 1,077,747 TEU dalam sebulan tanpa sebarang kesesakan, untuk bulan Mei 2024.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hadiman berkata, pencapaian ranking dunia ini merupakan satu perkara penting bagi PTP dn menyerlahkan kepentingan PTP kepada sektor maritim, kesejahteraan ekonomi dan perdagangan untuk rangkaian global.
“Menyampaikan hasil yang mengagumkan adalah penting, terutamanya dalam masa yang mencabar. Kita semua perlu berusaha lebih keras untuk mencapai kecemerlangan operasi dan prestasi tinggi.
"Kami amat berbangga dengan dedikasi pasukan kami, yang telah memberikan kami kedudukan berprestij ini. Usaha gigih mereka memastikan kami menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan kami yang dihargai,” ujarnya.
Hadiman berkata, PTP kekal komited terhadap inovasi dan kecekapan dengan akan terus melabur dalam infrastruktur, teknologi canggih dan tenaga kerja bagi mengukuhkan kepimpinan kami dalam operasi pelabuhan kontena global. - DagangNews.com