KUALA LUMPUR 22 Dis - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah menandatangani perjanjian dengan Mitsui E&S Co., Ltd. (Mitsui) untuk mendapatkan 48 kren gantri beroda elektrik (e-RTG).
PTP dalam satu kenyataan media hari ini berkata kedua-dua pihak menyatakan minat mereka untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang meliputi pembelian peralatan, pengurusan inventori dan perkhidmatan selepas jualan.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata pemeteraian perjanjian itu mencerminkan komitmen kuat PTP bagi memperkembang kapasiti dan keupayaannya untuk menyokong pertumbuhan permintaan pelanggan mereka.
"Pendekatan strategik PTP terus mempertingkat kecekapan dan mengoptimumkan jejaknya, menyumbang dengan besar untuk mengekalkan kelebihan terminal dalam pasaran global yang semakin kompetitif,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen menambah bahawa PTP sedang melaksanakan pelbagai inisiatif pengoptimuman di bawah Program Ipsum Magna untuk menaik taraf dan mengembangkan kemudahan terminalnya secara mampan menerusi pembelian dan penggunaan automasi dan pendigitalan.
Beliau berkata kren e-RTG baharu merupakan sebahagian daripada strategi pemodenan peralatan pelabuhan tersebut dan dijadualkan dihantar menjelang suku ketiga 2025.
“Pembelian itu sejajar dengan sasaran kelestarian PTP ke arah penyahkarbonan, di mana ia menyasarkan untuk mengurangkan 45% pelepasan karbon menjelang 2030, selaras dengan Perjanjian Paris.
“85% daripada kren RTG kami menggunakan elektrik, satu inisiatif yang dimulakan pada 2014, dan kami menyasarkan untuk mencapai sepenuhnya menjelang awal 2024,” tambahnya.
Pengurus Besar Jabatan Jualan Bahagian Sistem Logistik Mitsui, Atsufumi Takahashi tempahan 48 unit itu merupakan tambahan kepada 35 unit yang ditempah pada Disember 2022 dan komited menyerahkan e-RTG tepat pada masanya seperti ditetapkan jadual yang dipersetujui. - DagangNews.com