ABU DHABI 7 Nov - Pelantikan Sarawak Energy Bhd (SEB) sebagai penaung global Majlis Tenaga Dunia (WEC) mencerminkan pengiktirafan global kepada kerajaan Sarawak dalam meneraju peralihan tenaga secara berkesan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan ini memberi akses maksimum kepada SEB memperkasa teknologi sumber tenaga diperbaharui peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, berbekalkan tadbir urus terbaik yang diamalkan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi keyakinan dunia untuk mengiktiraf kesungguhan Sarawak.
“Pengkitirafan ini memberi peluang Sarawak untuk akses kepada trend pembangunan teknologi dan menangani isu perubahan iklm hingga peringkat global. Kelebihan ini membolehkan pihaknya meningkatkan jaringan bersama komuniti antarabangsa secara berkesan.
“SEB akan meneruskan hala tuju dengan meneroka potensi tenaga diperbaharui sebagai sumber utama sekaligus menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sifar hingga ke peringkat global,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual media pada Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC), Emiriah Arab Bersatu, hari ini.
Bagi melancarkan urusan itu, Abang Johari berkata, pihaknya terus memperkasa sistem tadbir urus dan amalan terbaik mengurusan alam sekitar dengan meneroka lebih banyak taknologi bagi menjana tenaga diperbaharui yang memberi impak kepada kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 20 tahun lalu, Sarawak menghasilkan 70 peratus tenaga hidro elektrik dengan 30 peratus lagi bukan hidro dalam membangunkan tenaga bersih.
Tidak dinafikan, katanya Sarawak kaya sumber dengan sungai dan empangannya berupaya menjana tenaga hidro elektrik. Hasilnya kemakmuran sumber dikongsi bersama negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei menerusi kemudahan Borneo Grid.
“Sejak empat tahun lalu, kami menawarkan kemudahan tenaga bersih di Kalimantan Utara dan Kalimantan Barat. Pada masa sama Singapura mempelawa Sarawak membekalkan tenaga hidro dengan perjanjian persetujuan bekalan sehingga satu gigawat.
“Bekalan menerusi kabel sambungan bawah tanah dan kemudahan ini turut dimanfaatkan kepada beberapa negeri di Semenanjung Malaysia antaranya di Johor,” katanya.
Pada peringkat antarabangsa pula, Sarawak menjalin kerjasama dengan Masdar (Abu Dhabi) dan Gentari (Petronas), membangunkan projek tenaga solar pada kapasiti satu gigawatt di Asia Barat. Kerjasama Masdar dan Mubadala, menjanjikan potensi besar memperkukuh hubungan sektor tenaga serta menyokong peralihan tenaga bersih global.
Mengulas peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean pada 2025, Abang Johari berkata, kelebihan ini membolehkan negara memberi tumpuan kepada kemajuan grid ASEAN, menghubungkan negara seperti Thailand, Laos, dan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga serantau. - DagangNews.com