Untung bersih Pentamaster bagi 3QFY24 susut kepada RM11.77 juta kesan penurunan jualan sistem peralatan ujian automatik | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pentamaster bagi 3QFY24 susut kepada RM11.77 juta kesan penurunan jualan sistem peralatan ujian automatik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Untung bersih Pentamaster Corp Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) menyusut hampir 50% kepada RM11.77 juta berbanding RM23.49 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan daripada penurunan jualan sistem peralatan ujian automatik (ATE) serta kelemahan dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagaimanapun, sebahagian besar kerugian tukaran mata wang asing itu masih belum direalisasikan kerana mata wang asing belum ditukar kepada ringgit.

 

Katanya, hasil bagi suku berkenaan juga susut kepada RM150.17 juta berbanding RM180.74 juta pada 3QFY23.

 

"Hasil dalam segmen ATE susut sebanyak RM45.4 juta pada 3QFY24, kepada RM53.4 (3QFY23: RM98.8 juta), susut 45.9% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Ini adalah hasil daripada pertumbuhan hasil Kumpulan daripada segmen automotif yang terjejas memandangkan industri automotif menghadapi masalah yang teruk sejak awal tahun ini," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) juga menyusut kepada RM51.04 juta berbanding RM68.42 disokong penurunan hasil kepada RM492.34 juta berbanding RM522.93 juta pada 3QFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal komited untuk menangani cabaran dalam segmen ATE sambil terus memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam segmen rumusan automasi kilang (FAS).

 

Katanya, Inisiatif utama sedang dijalankan untuk menyelaraskan operasi dan meningkatkan kecekapan yang merupakan langkah kritikal untuk meningkatkan margin dalam tempoh pelaporan akan datang.

 

"Pada masa yang sama, kumpulan sedang berusaha untuk mengukuhkan kehadirannya dalam industri pertumbuhan tinggi dan meneruskan inisiatif strategik jangka panjang yang akan meletakkannya secara strategik dalam pasaran teknologi yang sentiasa berkembang.

 

"Ia didorong permintaan tinggi semasa untuk prestasi tinggi, lebar jalur tinggi, dan cip yang digunakan dalam Kecerdasan Buatan (AI), pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi," katanya. - DagangNews.com