Pelabur asing beli hampir RM750 juta ekuiti tempatan minggu lalu, tertinggi setakat tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli hampir RM750 juta ekuiti tempatan minggu lalu, tertinggi setakat tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan pada minggu lalu yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM749.34 juta berbanding aliran keluar RM160.7 juta bagi minggu sebelumnya. 

 

Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, kemasukan dana asing ini dipengaruhi data ekonomi yang menyakinkan terutama indeks pengeluaran perindustrian Malaysia menyederhana kepada 5.8% tahun ke tahun pada Disember 2021. 

 

Selain itu, katanya, perdagangan borong dan runcit mencatat pertumbuhan 3.5% pada Disember 2021 manakala ekonomi negara pada suku keempat mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 3.6%.

 

Setakat tahun ini, tambahnya, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia dalam tempoh 4 daripada 6 minggu. 

 

"Kami juga mendapati, pembelian ekuiti pada minggu berakhir 11 Februari itu juga adalah yang tertinggi bagi tahun ini. 

 

"Pembelian asing tertinggi sebelum ini direkodkan pada minggu kedua Januari (berakhir 14 Januari 2022) sebanyak RM397.85 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Menurut firma tersebut, pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lalu, yang mana ia berlaku kali terakhir pada minggu berakhir 14 Januari lalu. 

 

Aliran masuk tertinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM279.64 juta manakala paling rendah pada Isnin sebanyak RM21.82 juta. 

 

"Kadar kemasukan bersih pelabur asing kekal menggalakkan pada Khamis dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM228.44 juta dan RM165.36 juta," tambahnya.

 

MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih ekuiti tempatan yang aktif sepanjang minggu lalu. 

 

Katanya, aliran keluar tertinggi direkodkan pada Rabu dan paling rendah pada Isnin dengan masing-masing sebanyak RM261.35 juta dan RM32.37 juta. 

 

"Bagi pelabur runcit pula, ia muncul sebagai penjual bersih setiap hari pada minggu lalu kecuali pada Isnin (RM10.55 juta).

 

"Jualan ekuiti direkodkan paling tinggi pada Khamis sebanyak RM64.83 juta manakala paling rendah pada Selasa berjumlah RM8.44 juta," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mendapati, bagi minggu keenam tahun ini, pelabur asing mengakhiri dagangan sebagai pelabur yang mantap dengan pembelian berjumlah RM749.34 juta. 

 

Sebaliknya, pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing menjual bersih ekuiti sebanyak RM100.17 juta dan RM649.18 juta.

 

"Bagi asas tahun setakat ini, kami menyaksikan aliran masuk bersih daripada pelabur asing sebanyak RM1.052 bilion manakala pelabur runcit hanya membeli sebanyak RM980,000 ekuiti.

 

"Pelabur institusi tempatan pula menjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM1.053 bilion," katanya.

 

Pada minggu lalu, FBM KLCI menokok 3.69% untuk berakhir pada 1,578.89 mata manakala ringgit mengukuh 0.22% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.1897. - DagangNews.com