Pelabur asing 'berhenti' jadi pembeli bersih ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing 'berhenti' jadi pembeli bersih ekuiti Malaysia

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pelabur asing menghentikan momentumnya sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir pada 4 Jun 2021. 

 

Ini sekali gus menyaksikan aliran keluar bersih dana asing berjumlah -RM135.63 juta bagi tempoh berkenaan, menurut MIDF Research. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, ini merupakan aliran keluar pertama selepas mereka membeli bersih selama dua minggu berturut-turut.

 

“Sebaik pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli bersih RM60.45 juta nilai ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan, masing-masing merupakan pembeli bersih dan penjual bersih bernilai RM6.21 juta dan -RM66.66 juta.

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih bagi majoriti hari pada minggu lalu, yang dicatatkan pada Selasa, Khamis dan Jumaat.

 

“Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Rabu, bernilai RM139.16 juta dan aliran keluar terbesar pada Jumaat, -RM232.90 juta,” jelas MIDF dalam satu nota kajiannya. 

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada hari Rabu, tambah MIDF lagi. 

 

Pembelian terbesar mereka dicatatkan pada Selasa bernilai RM257.22 juta dan terendah pada Isnin, ujar MIDF. 

 

Secara keseluruhannya pada minggu lalu, pelabur runcit telah membeli bersih RM428.89 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

“Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula mencatatkan aliran keluar mingguan terkumpul sebanyak -RM293.26 juta. Penjualan bersih berlaku dari Isnin hingga Rabu, sebelum beralih kepada pembeli bersih bagi hari-hari yang selebihnya.

 

“Penjualan bersih terbesar dibuat oleh mereka pada Selasa lalu bernilai -RM216.10 juta, sementara nilai terendah pada Isnin,” kata MIDF.

 

Sejak awal tahun ini, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM6.90 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan dan asing pula menjual bersih ekuiti, masing-masing bernilai -RM3.67 bilion dan -RM3.23 bilion.

 

Pada minggu lalu, Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM4.75 juta, RM3.54 juta dan RM3.48 juta. 

 

Sementara itu, Serba Dinamik Holdings Berhad, Genting Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad, masing-masing mencatatkan aliran keluar terbesar bernilai -RM4.70 juta, -RM1.41 juta dan -RM1.30 juta. - DagangNews.com