Pelabur asing catat aliran masuk RM1.32 bilion ekuiti tempatan pada Julai 2024 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing catat aliran masuk RM1.32 bilion ekuiti tempatan pada Julai 2024 – Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Aliran dana pelabur asing positif dalam ekuiti Malaysia pada Julai 2024, mencatatkan belian bersih berjumlah RM1.32 bilion dengan pembelian kebayankannya berlaku dalam tempoh tiga minggu pertama bulan itu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, ia menjadikan jumlah aliran masuk bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 kepada RM500 juta berbanding jualan bersih sebanyak RM2.34 bilion pada tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pegangan pelabur asing dalam pasaran adalah 19.6% pada akhir Julai 2024.

 

Maybank IB berkata, jualan bersih pelabur runcit bagi ekuiti tempatan meningkat kepada RM570 juta pada Julai 2024 berbanding RM250 juta pada bulan sebelumnya, pelabur runcit telah menjual sejak Julai 2023.

 

Katanya, institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan RM750 juta (Jun: RM310 juta).

 

"Aktiviti dagangan dari bulan ke bulan mereda, tetapi masih teguh dengan purata dagangan harian (ADV) ekuiti sebanyak RM3.8 bilion. Penyertaan pelabur asing ialah 31.9% (Jun: 33.4%), pelabur institusi tempatan pada 45.7% (Jun: 44.1%) dan pelabur runcit pada 22.4% (Jun: 22.5%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB), CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, Sunway Bhd dan Gamuda Bhd merupakan saham pilihan utama pelabur asing.

 

Katanya, saham dengan aliran keluar tertinggi ialah RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, YTL Power International Bhd, YTL Corporation Bhd dan Hong Leong Bank Bhd

 

Bagi bon ringgit, ia telah menyaksikan aliran keluar sebanyak RM580 juta pada Jun (tiada data tersedia bagi Julai), menyederhana selepas pelabur asing membeli bersih RM5.49 bilion bon ringgit pada Mei ketika ringgit melemah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Jumlah pegangan asing susut kepada RM271.3 bilion (Mei: RM271.9 bilion), menyederhanakan saham asing kepada 13.3% (Mei: 13.4%)," katanya. - DagangNews.com