Pelabur asing catat jualan ekuiti RM68.22 juta, aliran keluar terendah dalam tempoh tujuh minggu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing catat jualan ekuiti RM68.22 juta, aliran keluar terendah dalam tempoh tujuh minggu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Bursa Malaysia terus menyaksikan aktiviti jualan daripada pelabur asing untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan jumlah RM68.22 juta ekuiti terjual pada minggu lalu dan ia merupakan aliran keluar terendah sejak tujuh minggu lalu.

 

Pelabur asing merupakan penjual bersih untuk sepanjang minggu kecuali Selasa serta Jumaat dan aliran keluar terbesar pelabur asing direkodkan pada Khamis iaitu sebanyak 83.4 juta sementara aliran masuk terbesar untuk pelabur asing adalah pada selasa dengan RM102.6 juta.

 

Isnin menyaksikan kesinambungan jualan bersih pelabur asing sebanyak RM53.5 juta tetapi terhenti pada Selasa sebelum ia disambung semula bagaimanapun, minggu itu diakhiri dengan pembelian bersih pelabur asing pada Jumaat sebanyak RM20.1 juta.

 

"Tiga sektor yang menyaksikan aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur asing minggu lalu adalah perkhidmatan kewangan, tenaga dan telekomunikasi masing-masing RM81.1 juta, RM46.8 juta dan RM27.7 juta.

 

"Sementara itu, aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan oleh sektor penjagaan kesihatan sebanyak RM95.5 juta, produk dan perkhidmatan industri iaitu RM81 juta dan pembinaan sebanyak RM45.3 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, institusi tempatan merupakan pembeli bersih untuk setiap hari dagangan pada minggu lalu kecuali Selasa dengan aliran keluar bersih sebanyak RM105.7 juta dengan Khamis mencatatkan aliran masuk tertinggi dengan RM120.5 juta dan secara kumulatif, institusi tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti sebanyak RM147.5 juta pada minggu lalu.

 

"Peruncit tempatan beralih kepada penjual bersih minggu lepas, dengan jumlah aliran keluar mingguan sebanyak RM79.2 juta dan aliran keluar bersih terbesar bagi peruncit tempatan pada minggu lalu adalah pada Jumaat sebanyak RM48.8 juta manakala aliran masuk terbesar adalah pada Isnin sebanyak RM9.9 juta.

 

"Sehingga kini, pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 42 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.7 bilion.

 

"Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 42 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.0 bilion dan peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 42 minggu 2022 dan sehingga kini mereka telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.2 bilion.

 

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing sebanyak 17.8% dan pelabur runcit pada 5.2% manakala pelabur institusi merosot sebanyak 2.5%. - DagangNews.com