Pelabur asing hilang ‘selera’ terhadap bon Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing hilang ‘selera’ terhadap bon Malaysia?


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Minat kemasukan asing terhadap sekuriti kerajaan Malaysia (MGS/GII) lebih mengukuh berbanding rakan-rakan negara lain seperti Indonesia dan Thailand. 

Dari awal tahun hingga September 2020, jumlah kemasukan asing MGS/GII bernilai AS$1 bilion, mendahului Indonesia (-AS$12.9 bilion) dan Thailand (-AS$2.2 bilion) yang terus menyaksikan aliran keluar. 

Ketika minat asing terhadap hasil tinggi sekuriti kerajaan Malaysia berterusan, namun situasi itu mungkin melemah pada tempoh beberapa bulan akan datang.

“Risiko utama termasuk peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia, kuasa (politik) yang dirasakan mengatasi kawalan kerajaan pusat, pilihan raya Amerika Syarikat dan ketidaktentuan perjanjian BREXIT, mungkin mengurangkan aliran masuk asing,” kata Ketua Ahli Ekonomi RAM Ratings, Woon Khai Jhek.

 

Woon Khai Jhek
Woon Khai Jhek

 

Setakat semalam, Malaysia menyaksikan sebanyak 862 kes baharu dengan Selangor terus mencatatkan pertambahan kes dan kluster baharu setiap baharu.

Menurut Khai Jhek, pembelian asing bagi MGS/GII berterusan untuk bulan kelima berturut-turut pada September 2020, meningkat RM1.1 bilion didorong ‘selera’ pelabur terhadap hasil yang lebih tinggi. 

Dalam pada itu, hasil bon domestik kekal terhad di tengah-tengah kecairan (liquidity) global yang banyak dan kadar faedah rendah. 

“Kemungkinan potongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada November depan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan bandar utama, mungkin mengehadkan lonjakan hasil bon,” tambah Khai Jhek. - DagangNews.com