Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pelabur asing muncul pelabur utama minggu lalu dengan menjual bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM183.7 juta.
MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual RM541.02 juta bersih ekuiti tempatan.
Katanya, pelabur runcit dan tempatan pula masing-masing membeli bersih RM183.1 juta dan RM357.9 juta ekuiti.
Pada minggu lalu, pelabur runcit merupakan pembeli aktif kecuali pada Khamis dengan jualan bersih sebanyak RM87.4 juta.
"Aliran masuk bersih pada kadar RM183.11 juta berlaku pada Isnin dan terkecil pada Selasa dengan aliran masuk pada kadar RM104.61 juta.
"Momentum ini berterusan sehingga minggu berakhir 4 Disember. Pada Jumaat, pelabur runcit membeli bersih pada kadar RM120.9 juta," katanya dalam laporan itu.
Sepanjang minggu lalu, menurut laporan berkenaan, terdapat beberapa utama berlaku di Malaysia terutama kejatuhan kerajaan negeri Perak dan Fitch Ratings menurunkan penafaran Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, momentum pelabur institusi tempatan didapati bercampur-campur apabila pasaran menyaksikan mereka muncul penjual bersih pada pertengahan minggu dan kemudiannya berakhir sebagai pembeli bersih.
"Jualan terbesar direkodkan pada Selasa sebanyak RM170.6 juta dan pembelian terbesar pada Isnin," katanya.
MIDF Research berpendapat kecenderungan pelabur membeli telah berubah kepada pengambilan untung seperti yang dilihat 2 minggu lalu.
"Minggu lalu, pembelian pelabur runcit kembali meningkat tinggi pada RM442.5 juta berbanding minggu sebelumnya, RM163.8 juta," katanya.
Setakat tahun ini, katanya, jualan bersih pelabur asing mencecah RM24.2 bilion nilai ekuiti di Bursa Malaysia.
"Pembelian bersih pula berjumlah RM12.4 bilion menerusi pelabur runcit setakat ini pada 2020, manakala pelabur institusi membeli pada kadar RM11.3 bilion," katanya. - DagangNews.com