Pelabur asing jual lagi ekuiti Malaysia - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual lagi ekuiti Malaysia - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Sepanjang minggu lalu berakhir 26 Mac, pelabur asing sekali lagi kembali menjual ekuiti tempatan dengan nilai aliran keluar sehingga -RM239.80 juta. 

 

Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing menjual bersih -RM28.86 juta ekuiti tempatan, menurut MIDF Research. 

 

Pelabur runcit dan institusi tempatan pula masing-masing merupakan pembeli bersih dengan nilai +RM26.42 juta dan +RM2.44 juta.

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat. Aliran masuk tidak cukup untuk menampung momentum negatif itu. 

 

“Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Selasa pada kadar -RM214.97 juta, sementara aliran keluar terendah pada Isnin, hanya -RM28.86 juta,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Setakat ini pada tahun 2021 (YTD), penjualan bersih asing mencatatkan nilai lebih rendah jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lalu, kata MIDF. 

 

Firma penyelidikan itu mendapati, penjualan bersih oleh pelabur asing bernilai -RM1.52 bilion setakat ini bagi tahun 2021, daripada -RM2.59 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2020.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Jumaat, di mana penjualan bersih itu mencatatkan nilai -RM5.32 juta, kata MIDF.

 

Jelas firma penyelidikan itu, pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada Selasa, bernilai RM98.42 juta sementara pembelian bersih terendah pada Isnin, iaitu RM26.42 juta.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula merupakan penjual bersih setiap hari bagi minggu lalu, kecuali pada Isnin dan Selasa, ujar MIDF. 

 

“Aliran masuk terkumpul mingguan mencatatkan nilai +RM10.48 juta.

 

“Pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Selasa dengan nilai +RM115.55 juta, sementara pembelian bersih terendah pada Isnin, +RM2.44 juta,” tambah MIDF.

 

Sejak permulaan 2021, secara terkumpul, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia dengan nilai RM4.99 bilion, ujar MIDF lanjut.

 

Pelabur institusi tempatan dan asing pula masing-masing merupakan penjual bersih bernilai -RM3.47 bilion dan -RM1.52 bilion.

 

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan asing menyaksikan purata nilai dagangan harian (ADTV) yang menyusut, masing-masing sebanyak -28.32%, -29.26% dan -45.08%, jelas MIDF.

 

Baca : Pelabur asing jual balik ekuiti Malaysia

 

Pada minggu lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Public Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing pada nilai RM4.84 juta, RM3.58 juta dan  RM2.74 juta.

 

Sementara itu, Genting Malaysia Berhad, Genting Berhad dan Bursa Malaysia Berhad pula menyaksikan aliran keluar tertinggi, masing-masing pada nilai -RM4.02 juta, -RM3.70 juta dan –RM2.55 juta. - DagangNews.com