Pelabur asing jual RM276.4 juta ekuiti Malaysia selepas lima minggu membeli - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM276.4 juta ekuiti Malaysia selepas lima minggu membeli - MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Pelabur asing menamatkan pembelian bersih lima minggu mereka dengan mencatatkan jualan bersih RM276.4 juta ekuiti Malaysia minggu lepas, menurut MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata jualan bersih tertinggi berlaku pada Khamis berjumlah RM95.4 juta, diikuti oleh Isnin sebanyak RM92.5 juta, manakala aliran keluar pada hari-hari berikutnya kurang daripada RM40 juta.

 

Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing pada minggu lepas adalah utiliti (RM118.5 juta), hartanah (RM19.1 juta) dan pembinaan (RM9.4 juta).

 

Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar pelabur asing adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM191.3 juta), pengangkutan dan logistik (RM62.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.4 juta).

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan bertukar kepada pembeli bersih sebanyak RM194 juta selepas jualan bersih lima minggu berturut-turut.

 

"Setiap hari dagangan merekodkan pembelian bersih kecuali pada Selasa apabila terdapat aliran keluar sebanyak RM21.4 juta. 

 

"Pada hari itu, pelabur institusi tempatan diperhatikan menjual saham CIMB Group (RM25.5 juta), YTL Power (RM16.7 juta) dan Public Bank (RM15.3 juta)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur runcit tempatan mengekalkan pembelian bersih ekuiti domestik mereka untuk minggu kedua berturut-turut, berjumlah RM82.4 juta. 

 

Ini adalah pada kadar sederhana yang ketara berbanding pembelian bersih RM210.9 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

 

"Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan  dalam kalangan pelabur runcit tempatan (15.3%), pelabur institusi tempatan (16.4%) dan pelabur asing (49.9%)," tambahnya.  - DagangNews.com