Pelabur asing jual RM574.5 juta ekuiti minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM574.5 juta ekuiti minggu lalu

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pelabur asing terus menjadi pelabur utama sepanjang minggu lalu dengan menjual sebanyak RM574.5 juta ekuiti Malaysia. 

 

Dalam laporan aliran dana mingguan, MIDF Research berkata, apabila pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing menjual RM157.6 juta ekuiti tempatan. 

 

"Pelabur runcit dan institusi pula muncul pembeli dan penjual bersih dengan masing-masing berjumlah RM208.5 juta dan RM50.9 juta. 

 

"Bagi minggu berakhir 11 Disember itu, pelabur runcit merupakan pembeli aktif setiap hari," katanya dalam laporan berkenaan. 

 

Pada Rabu, ia menyaksikan aliran masuk bersih terbesar manakala paling rendah pada Khamis dengan kadar sebanyak RM41.5 juta. 

 

Menurut laporan itu, aliran masuk terbesar berjumlah RM267.9 juta. 

 

"Pelabur runcit muncul pembeli bersih pada Disember. Setakat ini, hanya sehari sahaja dalam bulan ini, pelabur runcit menjadi penjual bersih di bursa tempatan," katanya. 

 

Bagaimanapun, jelas MIDF Research, keadaan itu sangat berbeza dibandingkan dengan pelabur institusi. 

 

"Pasaran menyaksikan pelabur institusi tempatan muncul penjual bersih setiap hari kecuali pada Khamis. 

 

"Jualan tertinggi direkodkan pada Rabu, sebanyak RM88.86 juta manakala Khamis pula membeli sebanyak RM119.2 juta," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur runcit dan institusi masih menjadi pembeli bersih di bursa. 

 

Setakat ini, pelabur runcit membeli RM13.14 bilion ekuiti, lebih besar berbanding pelabur institusi tempatan sebanyak RM11.16 bilion. 

 

"Pelabur asing pula sehingga kini, sudah menjual RM24.8 bilion ekuiti di Bursa Malaysia," katanya. 

 

Berbanding dengan tiga pasaran di Asia Tenggara mengikut analisis MIDF Research, Malaysia merekodkan paling banyak aliran keluar bersih asing manakala Thailand mencatat aliran masuk yang rendah berbanding negara-negara lain. - DagangNews.com