Pelabur asing jual RM93.1 juta ekuiti Malaysia selepas membeli empat minggu berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM93.1 juta ekuiti Malaysia selepas membeli empat minggu berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Pelabur asing kembali menjual bersih RM93.1 juta ekuiti Malaysia, menamatkan aliran masuk empat minggu berturut-turut, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, setiap hari dagangan menyaksikan jualan bersih, kecuali Isnin apabila pelabur asing membeli RM29.8 juta, dengan aliran masuk diperhatikan dalam saham seperti Public Bank Berhad (RM42.2 juta), Sime Darby Berhad (RM29.4 juta) dan YTL Power International Berhad (RM28.6 juta).

 

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing tertinggi adalah utiliti (RM181.4 juta), pembinaan (RM67 juta) dan tenaga (RM51.8 juta).

 

“Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing tertinggi adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM241.2 juta), pengangkutan dan logistik (RM103.7 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM99 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pelabur institusi tempatan pula meneruskan jualan bersih bagi minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah RM141.6 juta.

 

MIDF Research berkata sektor teknologi menyaksikan aliran keluar tertinggi daripada kumpulan pelabur ini, berjumlah RM122.6 juta pada minggu lalu.

 

Begitu juga pelabur runcit yang terus menjadi penjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM10 juta lepas, walaupun lebih perlahan berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM383.3 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit tempatan (2.6%), pelabur institusi tempatan (3.4%) dan pelabur asing (10.6%),” jelasnya. - DagangNews.com