Pelabur asing kembali beli RM299.6 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali beli RM299.6 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Selepas membuat jualan besar-besaran, pelabur asing kembali membeli sejumlah RM299.6 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, mereka hanya menjual bersih sebanyak RM74.3 juta pada Isnin dan kekal menjadi pembeli bersih untuk keseluruhan minggu dan Jumaat merupakan hari belian paling kukuh dengan RM288.3 juta.

 

"Tiga sektor teratas yang yang mencatatkan pembelian oleh pelabur asing minggu lepas ialah perkhidmatan kewangan (RM620.6 juta), telekomunikasi & media (RM93.9 juta) dan pengangkutan & logistik (RM40.8 juta).

 

 

"Sementara itu, tiga sektor teratas yang dijual bersih oleh pelabur asing ialah teknologi (RM143.8 juta), hartanah (RM113.3 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM100.7 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 16 Ogos 2024, hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan hanya beli bersih pada Isnin sebanyak RM55.7 juta tetapi menjadi penjual bersih untuk sepanjang minggu. Secara keseluruhan, mereka adalah penjual bersih, berjumlah RM328.9 juta.

 

Peruncit tempatan bersih membeli ekuiti minggu lepas, berjumlah RM29.3 juta.

 

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan merentas semua kelas pelabur. 

 

Peruncit tempatan mencatatkan kemerosotan tertinggi pada 45%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing mencatatkan kemerosotan masing-masing sebanyak 39.9% dan 43.5%. - DagangNews.com