Pelabur asing kembali jual RM42.49 juta ekuiti selepas 7 minggu catat aliran masuk | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali jual RM42.49 juta ekuiti selepas 7 minggu catat aliran masuk

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan pada minggu lalu yang menyaksikan aliran keluar berjumlah RM42.49 juta. 

 

Sebelum ini, mereka merupakan pembeli bersih ekuiti selama tujuh minggu berturut-turut, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.

 

Aliran keluar asing paling tinggi direkodkan pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM42.18 juta dan RM45.72 juta.

 

Ia diikuti dengan penjualan ekuiti pada Selasa dan Khamis masing-masing sebanyak RM3.89 juta dan RM2.6 juta sebelum kembali membeli ekuiti pada Jumaat sebanyak RM51.9 juta.

 

Firma itu mendapati tiga sektor mencatatkan aliran keluar asing iaitu produk perindustrian sebanyak RM121.8 juta manakala perladangan (RM35.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM34.6 juta).

 

"Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing pula ialah pembinaan berjumlah RM69.2 juta diikuti telekomunikasi (RM47.9 juta) dan utiliti (RM25.1 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan membeli RM91.29 juta ekuiti pada minggu berakhir 9 September itu selepas menjual berih ekuiti selama lapan minggu berturut-turut.

 

Didapati pembelian paling tinggi direkodkan pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM59.26 juta dan RM51.36 juta sebelum menjual semula ekuiti pada Jumaat sebanyak RM25.39 juta. 

 

Sebaliknya, pelabur runcit kembali menjadi penjual bersih ekuiti tempatan sebanyak RM48.81 juta selepas merekodkan pembelian selama empat minggu. 

 

"Mereka memulakan dagangan pada minggu lalu dengan membeli ekuiti sebanyak RM1.35 juta sebelum menjual ekuiti sepanjang minggu.

 

"Aliran paling tinggi penjualan ekuiti direkodkan pada Selasa dan Jumaat masing-masing sebanyak RM17.08 juta dan RM26.51 juta," katanya.

 

Menurut MIDF Research, dana antarabangsa setakat ini menyaksikan aliran masuk berjumlah RM8.11 bilion selama 24 daripada 36 minggu setakat tahun ini. 

 

Pelabur institusi tempatan pula menjual ekuiti selama 28 minggu berjumlah RM9.9 bilion manakala pelabur runcit membeli ekuiti selama 23 minggu sebanyak RM1.79 bilion.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian mencatat penurunan terutamanya pelabur asing susut 41.5% diikuti pelabur runcit (-13%) dan pelabur institusi tempatan (-8.26%).

 

Minggu lalu, FBM KLCI menokok 0.36% untuk mengakhiri dagangan Jumaat pada 1,496.53 mata, sebaliknya ringgit susut 0.26% berbanding dolar AS kepada RM4.4978. - DagangNews.com