Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pelabur asing masih mengekalkan kedudukan sebagai penjual bersih dalam pasaran ekuiti Malaysia sepanjang minggu lalu berakhir 20 November.
Pasaran juga menyaksikan aliran penjualan meningkat 9% kepada RM269 juta terutama melibatkan sektor tenaga dan utiliti, jelas CGS-CIMB dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.
Menurut penganalisisnya, Ivy Ng, keadaan ini masih mencerminkan kebimbangan pelabur asing terhadap ketidaktentuan situasi politik di Malaysia.
"Malah, mereka juga sebenarnya telah mula meringankan kedudukan dalam pasaran ekuiti Malaysia sejak Februari 2020," katanya.
Pada minggu tersebut, pelabur institusi tempatan mengekalkan kedudukan sebagai pembeli bersih terbesar, meningkat 34% minggu ke minggu kepada RM378 juta bagi minggu kedua berturut-turut.
Aliran pembelian bersih pelabur runcit pula jatuh pada paras terendah dalam minggu baru-baru ini kepada RM500,000 berbanding RM135 juta, dua minggu lalu.
Bagi pelabur penama pula, jualan bersih meningkat kepada RM80.8 juta minggu lalu berbanding RM28.6 juta pada minggu sebelumnya.
Setakat ini, pelabur asing dan hak milik masing-masing menjual sebanyak RM23.3 bilion dan RM166 juta nilai ekuiti.
Kedudukan ini mengimbangi pembelian bersih dari pelabur runcit sebanyak RM12.3 bilion, pelabur institusi tempatan (RM9.2 bilion) dan penama (RM2 bilion).
Jelas Ivy, pada minggu berkenaan juga, indeks FBM KLCI juga secara relatif tidak berubah, sebaliknya hanya meningkat 4% minggu ke minggu.
Indeks itu juga hanya mengukuh 1% ke paras tertinggi minggu itu, pada 1,610 mata, yang mana masih lagi jauh berbanding 1,613 mata, tertinggi setakat ini.
"Tetapi, pasaran kemudiannya kembali menyusut apabila minggu berakhir memandangkan berlakunya pengambilan keuntungan, kemungkinan disebabkan kebimbangan terhadap pengundian usul Belanjawan 2021, minggu ini," ujarnya.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November lalu, diiktiraf sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan nilai RM322.5 bilion.
Bagaimanapun, inti pati Belanjawan 2021 masih dilihat sebilangan besar ahli Parlimen, termasuk pembangkang sebagai kurang memuaskan bagi membela nasib rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata, jika Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan 2021 tidak mendapat cukup undi untuk diluluskan, situasi itu akan menjadi lebih rumit dan merugikan. - DagangNews.com