Pelabur asing terus beli RM246.3 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus beli RM246.3 juta ekuiti tempatan bagi minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Pelabur asing meneruskan pembelian bersih di Bursa Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut, berjumlah RM246.3 juta minggu lepas, walaupun penurunan sebanyak 35.7% berbanding minggu sebelumnya pada RM382.8 juta.

 

MIDF Research berkata pelabur asing menjual RM70 juta ekuiti tempatan pada Isnin namun menjadi pembeli bersih untuk hari-hari berikutnya, sebanyak RM114.3 juta (Selasa), RM59.8 juta (Rabu), RM30.6 juta (Khamis) dan RM111.5 juta (Jumaat).

 

Menurut firma penyelidikan itu, pada Isnin, tiga saham teratas yang mereka jual ialah CIMB Group Holdings (RM29.4 juta), Tenaga Nasional (RM10.7 juta) dan MISC (RM10 juta).

 

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM150.6 juta), utiliti (RM132.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM64.6 juta).

 

“Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk pengguna dan perkhidmatan (RM112.1 juta), pengangkutan dan logistik (RM48.9 juta) dan tenaga (RM20.6 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan melupuskan RM457.2 juta ekuiti.

 

Firma itu berkata mereka bersih membeli RM7.5 juta pada Isnin tetapi menjual bersih pada hari-hari berikutnya sebanyak RM152.7 juta (Selasa), RM123.2 juta (Rabu), RM45.2 juta (Khamis) dan RM143.7 juta (Jumaat).

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan membeli bersih RM210.9 juta selepas tujuh minggu menjual ekuiti Bursa Malaysia minggu lepas, dengan belian bersih setiap hari, sesuatu yang kali terakhir dilihat sejak awal Jan 2023.

 

Mereka bersih membeli RM62.5 juta pada Isnin, diikuti RM38.4 juta (Selasa), RM63.3 juta (Rabu), RM14.6 juta (Khamis) dan RM32.2 juta (Jumaat).

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit tempatan (4.5%), pelabur institusi tempatan (7.7%) dan pelabur asing (110.2%),” katanya.  - DagangNews.com