Pelabur asing terus ‘borong’ bon Malaysia bulan lalu - Ram Ratings | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus ‘borong’ bon Malaysia bulan lalu - Ram Ratings

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bon Malaysia terus menarik minat pembelian pelabur asing pada April 2021 dengan lebih daripada 90% mengalir masuk ke Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII). 

 

Ini menyaksikan pembelian bersih bon Malaysia oleh mereka berkembang kepada RM6.4 bilion daripada RM5.9 bilion bagi Mac 2021, menurut firma penarafan, Ram Ratings Services. 

 

“Ini menyaksikan pembelian asing selama 12 bulan berturut-turut dengan nilai keseluruhan RM60.2 bilion. 

 

“Lebih 90% daripada nilai pembelian ini mengalir ke bon kerajaan, terutamanya didorong oleh pelabur yang berjangka panjang seperti bank pusat, kerajaan, dana persaraan dan syarikat insurans,” jelas firma penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Ram Ratings, walaupun minat pelabur asing berterusan dan tekanan penjualan berkurangan, namun kadar hasil bon domestik menyusut pada bulan lalu. 

 

Penanda aras kadar hasil MGS 10-tahun menyusut 10.8 mata peratusan (bps) kepada 3.14%, penurunan kali pertama dalam tempoh tiga bulan. 

 

Penjualan bon yang dilihat berhenti di peringkat global juga menghalang peningkatan kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) pada bulan lepas, seterusnya menyusut 9 bps.

 

“Pasaran serantau juga menjejakinya, dengan kadar hasil bon kerajaan 10-tahun di Singapura, Thailand dan Indonesia masing-masing menurun sebanyak 15.0, 13.4 dan 23.9 bps bagi tempoh sama,” tambah Ram Ratings. - DagangNews.com