Pelabur asing terus jual RM66.3 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing terus jual RM66.3 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Pelabur asing terus mencatatkan jualan bersih ekuiti Bursa Malaysia berjumlah RM66.3 juta bagi minggu kedua berturut-turut minggu lepas, iaitu 28.8% lebih rendah berbanding RM93.1 juta pada minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata pelabur asing mencatat aliran keluar hanya pada Rabu dan Khamis minggu lepas.

 

“Mereka menjual bersih RM39 juta pada Rabu dan RM190 juta bagi Khamis manakala mereka pembelian bersih dilakukan pada Isnin (RM15.8 juta), Selasa (RM93.7 juta) dan Jumaat (RM53.3 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan, hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing tertinggi adalah utiliti (RM135.1 juta), pembinaan (RM114.6 juta), dan hartanah (RM51.2 juta.

 

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing tertinggi pula adalah perkhidmatan kewangan (RM129.2 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM64.8 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM61.8 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian bersih bagi minggu kedua berturut-turut, berjumlah RM214.7 juta minggu lepas, dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang dicatatkan minggu sebelumnya.

 

Mereka membeli bersih pada Isnin (RM36.7 juta), Rabu (RM38.4 juta) dan Khamis (RM222.1 juta) dan menjual bersih pada Selasa (RM67.3 juta) dan Jumaat (RM15.2 juta).

 

Bagi pelabur runcit tempatan pula, mereka mencatat jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut berjumlah RM148.4 juta.

 

Mereka menjual bersih setiap hari pada minggu lepas, kecuali Rabu apabila mereka membeli bersih RM700,000.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing meningkat 1.9% manakala pelabur runcit tempatan dan pelabur institusi tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 4.6% dan 4.0%,” katanya.  - DagangNews.com