Pelabur asing teruskan momentum beli ekuiti Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing teruskan momentum beli ekuiti Malaysia

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pelabur asing meneruskan momentum pembelian bersih ekuiti Malaysia pada minggu lalu yang berakhir 28 Mei 2021, dengan aliran masuk mencecah RM190.2 juta. 

 

Mereka menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan untuk dua minggu berturut-turut selepas sembilan bulan menjual bersih saham Malaysia, menurut MIDF Research. 

 

Sebaik pasaran dibuka pada Isnin lalu, MIDF berkata, pelabur asing menjual bersih -RM43.6 juta ekuiti tempatan, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing merupakan pembeli bersih (RM50.3 juta) dan penjual bersih (-RM6.7 juta). 

 

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari, kecuali pada Isnin lalu. Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Jumaat, RM113.3 juta dan terendah pada Selasa, RM20.5 juta. 

 

“Sementara itu, aliran keluar pula satu-satunya dicatatkan pada Isnin,” jelas MIDF dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Berbeza dengan pelabur asing, pelabur runcit pula membeli bersih ekuiti tempatan setiap hari dengan aliran masuk tertinggi pada Isnin berjumlah RM50.3 juta dan terendah pada Jumaat, RM15.3 juta. 

 

Secara keseluruhannya pada minggu lalu, menurut MIDF, pelabur runcit membeli bersih RM147.9 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

Sementara itu, pelabur institusi pula mencatatkan aliran keluar mingguan terkumpul mencecah -RM338.1 juta, tambah MIDF lagi. 

 

Penjualan terbesar oleh kategori itu dicatatkan pada Khamis, bernilai -RM137.9 juta, manakala aliran keluar terendah pada Isnin, -RM6.7 juta. 

 

“Sejak awal 2021, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan bernilai RM6.5 bilion. Pelabur institusi dan asing merupakan penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM3.4 bilion dan -RM3.1 bilion. 

 

“Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan purata nilai dagangan harian (ADTV) yang menyusut -2.4%, manakala pelabur institusi tempatan dan asing mencatatkan peningkatan, masing-masing sebanyak 6.4% dan 101.9%,” jelas MIDF lanjut.

 

Pada minggu lalu, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Genting Berhad dan Petronas Chemicals Group Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM3.68 juta, RM2.73 juta dan RM2.49 juta. 

 

Malayan Banking Berhad, Serba Dinamik Holdings Berhad dan Inari Amertron Berhad pula menyaksikan aliran keluar terbesar, masing-masing berjumlah -RM7.76 juta, -RM2.91 juta dan -RM2.62 juta. - DagangNews.com