Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Dialog Pemulihan Negara bersama Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), hari ini-Gambar ihsan Facebook Dewan Perniagaan British Malaysia.
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Nov - Pelabur masih yakin dengan prospek ekonomi negara ini dan ia dapat dibuktikan dengan kehadiran syarikat-syarikat besar dari United Kingdom (UK) yang berminat untuk mengetahui perkembangan proses pemulihan negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan meja bulat hari ini penting untuk kerajaan mendengar pendapat dengan pemain industri dari syarikat antarabangsa yang telah melabur dalam pelbagai sektor.
“Hubungan dagang antara Malaysia dan UK adalah satu hubungan strategik yang penting.
“Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar kepada UK dalam kalangan negara ASEAN. Sebelum pandemik pada tahun 2019, saya dimaklumkan bahawa nilai FDI (pelaburan langsung asing) dari UK ke Malaysia adalah sebanyak £3.7 bilion (RM20.78 bilion) tetapi pada tahun 2020, UK tidak ada dalam senarai 10 teratas dari segi kemasukan FDI.
“Namun saya yakin dalam kita bergerak ke hadapan, saya melihat lebih banyak ruang dan peluang untuk syarikat-syarikat dari negara seperti UK untuk melabur di Malaysia bukan sahaja dalam sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor-sektor strategik yang baharu,” katanya selepas Dialog Pemulihan Negara bersama Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), hari ini
Muhyiddin berkata, antara sektor-sektor yang boleh diterokai bersama dalam era pemulihan negara ini adalah seperti ekonomi digital, kesihatan awam terutamanya dari segi penyelidikan penyediaan pandemik masa hadapan, peralatan perubatan, perubatan, kelestarian alam sekitar dan juga pertahanan dan keselamatan.
Beliau berkata, sektor-sektor berkenaan jika dibangunkan, Malaysia mampu membina semula kekuatan ekonomi negara dan melonjakkan ekonomi untuk menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik COVID-19.
“Ini juga selari dengan perbincangan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam misi perdagangan beliau ke UK pada Oktober lalu, di mana beliau telah memaklumkan hasrat syarikat dari UK untuk melabur sebanyak RM800 juta ke Malaysia.
“Malaysia terbuka untuk berniaga dan keutamaan kita untuk pemulihan negara. Sebagaimana yang kita sedia maklum, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 5.5 ke 6.6% pada tahun 2022.
“Justeru, kita harus bekerja keras untuk memastikan unjuran ini dapat direalisasikan selari dengan hasrat kita untuk menjadikan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan negara," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, BMCC turut mengemukakan beberapa cadangan seperti mempercepatkan pembukaan sempadan negara untuk dipertimbangkan selain menyentuh tentang insentif pelaburan serta cara Malaysia dapat terus membantu mereka mengurangkan kos perniagaan.
“Selain itu, mereka juga mencadangkan supaya tempoh untuk mendapatkan kelulusan perniagaan itu tidak akan mengambil masa lama sehingga boleh menjejaskan pelaburan mereka.
“Mereka juga menyebut berkenaan minyak dan gas yang merupakan sektor penting, bagaimana untuk disegerakan proses pengambilan pegawai-pegawai pedagang bagi memenuhi keperluan industri ini.
“Selain itu, Marlborough College turut membangkitkan tentang industri pendidikan yang menyentuh masalah mereka dan ada juga syarikat lain yang menyentuh soal industri pendidikan yang terjejas dan ingin kembali pulih, mereka memerlukan banyak bantuan, sokongan daripada kerajaan," katanya.-Dagangnews.com