Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil Pembiayaan ASB dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah.
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berkata, kadar pembiayaan yang lebih rendah itu adalah selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR yang memberi kesan kepada Kadar Asas (KA) dan Kadar Pembiayaan Asas (KPA) yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan oleh bank.
"Pihak ASNB juga telah mewujudkan Pusat Khidmat Nasihat Pembiayaan ASB yang boleh dihubungi melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB, jelas ASNB dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah ASNB lagi, Pusat Khidmat Pelanggannya itu diwujudkan bagi membantu pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan masing-masing.
"Mereka hanya perlu menghubungi talian 03-77308899 untuk mendapatkan khidmat nasihat yang berkaitan," tambah ASNB lagi.
Jelas ASNB, pengurangan kadar pembiayaan itu bakal memberi impak kepada kedudukan kewangan peminjam untuk jangka panjang sekali gus mampu mengurangkan beban kewangan peminjam.
Terdahulu, BNM telah mengurangkan OPR sebanyak empat kali pada tahun 2020 iaitu pada Januari, Mac, Mei dan terbaharu pada 7 Julai baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, OPR telah diturunkan sebanyak 1.25% bagi tahun 2020.
Jumlah penurunan tersebut menjadikan OPR berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu pada kadar 1.75%.
Inisiatif penurunan OPR itu dilakukan sebagai sebahagian usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan wabak COVID-19. - DagangNews.com