Pelabur runcit 'penyelamat' Bursa Malaysia, labur RM9.3 bilion setakat ini | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit 'penyelamat' Bursa Malaysia, labur RM9.3 bilion setakat ini

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Buat minggu ketujuh berturut-turut, pasaran ekuiti tempatan terus menyaksikan aliran keluar asing berjumlah RM451.09 juta bagi minggu berakhir 6 Ogos. 

 

Bagaimanapun, aliran keluar itu adalah lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, sebanyak RM579.73 juta. 

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing menjual ekuiti sebanyak RM82.90 juta. 

 

Pelabur institusi tempatan pula membeli RM46.60 juta ekuiti diikuti pelabur runcit sebanyak RM36.3 juta.

 

"Pelabur asing menjual bersih ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat dan terendah pada Khamis masing-masing berjumlah RM133.77 juta dan RM36.80 juta," katanya. 

 

Sebaliknya, ekuiti tempatan banyak dibeli pelabur runcit setiap hari minggu lalu. Pembelian tertinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM112.28 juta manakala terendah pada Isnin, RM36.3 juta. 

 

Firma itu berkata, secara keseluruhan, pelabur runcit membeli sebanyak RM329.3 juta ekuiti di Bursa Malaysia sepanjang minggu tersebut.

 

Pelabur institusi tempatan pula, merekodkan pembelian ekuiti pada minggu itu berjumlah RM121.70 juta dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM279.86 juta. 

 

MIDF Research berkata, sejak awal tahun ini, pelabur runcit masih merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan berjumlah RM9.3 bilion. 

 

"Pelabur institusi tempatan dan pelabur asing pula masing-masing menjual ekuiti sebanyak RM3.31 bilion dan RM1.45 bilion," katanya.

 

Dari segi penyertaan di pasaran, nilai purata dagangan harian pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing menyusut 8.66%, 2.32% dan 1.75%.

 

Sepanjang minggu lalu, indeks FBM KLCI menyusut 0.32% dengan mengakhiri dagangan pada 1,489.80 mata. 

 

Bagi ringgit pula, ia mengukuh -0.03% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berakhir pada RM4.2192 pada Jumaat, menurut firma tersebut. - DagangNews.com