Pelabur ternanti hasil mesyuarat FOMC, ringgit mendatar | DagangNews Skip to main content

Pelabur ternanti hasil mesyuarat FOMC, ringgit mendatar

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pelabur yang mengambil sikap berhati susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) menyaksikan ringgit dibuka hampir tidak berubah dalam dagangan pagi ini.  

 

Mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.1130/1180 berbanding dolar AS, rendah sedikit daripada penutupan semalam pada RM4.1120/1160.

 

Menurut AmBank Research, pelabur kini memberi tumpuan kepada hasil mesyuarat pertama Rizab Persekutuan AS selama 2 hari itu bagi tahun ini. 

 

Katanya, pembuat dasar dijangka mengeluarkan unjuran data ekonomi bagi 2021. 

 

"Untuk itu, kami menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0855 dan RM4.0995 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.1269 dan RM4.1382," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Di sebalik mesyuarat FOMC, pelabur turut memantau rapat mesyuarat bank pusat utama lain pada minggu ini termasuk Bank of England yang akan mengadakan pertemuan pada Khamis dan Bank of Japan yang akan memulakan mesyuarat dasar selama dua hari pada hari yang sama. - DagangNews.com