Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April - Saham-saham berkaitan pengeluar sarung tangan getah terutama Top Glove, Supermax dan Hartalega mencuri perhatian pelabur sepanjang minggu lalu.
Menurut CGS-CIMB dalam laporan aliran dana mingguannya, saham Top Glove paling banyak dibeli pelabur asing tetapi mereka menjual bersih saham Hartalega dan Supermax.
"Bagaimanapun, Top Glove muncul saham paling banyak dijual kumpulan pelabur runcit dan penama tempatan," katanya.
Bagi minggu berakhir 16 April itu, indeks FBM KLCI susut 0.2% minggu ke minggu kepada 1,608 mata terutamanya disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam saham telekomunikasi.
Ini berikutan kenaikan saham itu yang kukuh sejak 2 minggu lalu (didorong oleh langkah penggabungan antara Celcom dan Digi), mengimbangi keuntungan dalam sektor penjagaan kesihatan.
Jumlah purata dagangan harian (ADTV) pula jatuh 9% minggu ke minggu kepada 6.4 bilion unit.
Sebaliknya, nilai purata dagangan harian meningkat 11% minggu ke minggu kepada RM4.25 bilion.
Pada minggu lalu, pelabur institusi muncul pembeli bersih bagi sektor penjagaan kesihatan (meningkat 4% minggu ke minggu) manakala pelabur runcit, penama dan asing pula menjadi penjual bersih bagi sektor berkenaan.
Pelabur asing pula menjual bersih ekuiti dalam sektor telekomunikasi manakala pelabur institusi menjadi pembeli bersih bagi ekuiti sektor itu.
Dalam masa sama, ujar firma itu, pelabur institusi beralih menjadi pembeli bersih selepas 18 minggu mencatat jualan bersih.
"Mereka membeli RM116.7 juta minggu lalu, menjadikan pelabur institusi pembeli bersih ekuiti Malaysia. Pelabur runcit pula muncul pembeli bersih kedua terbesar minggu lalu," katanya.
Menurut CGS-CIMB, pelabur asing merupakan satu-satunya penjual bersih minggu dengan aliran keluar melonjak 202% minggu ke minggu kepada RM235 juta. - DagangNews.com