KUALA LUMPUR 7 Julai - Pelaburan berpotensi Texas Instruments Incorporated (TI) sebanyak RM5 bilion untuk membina kilang pembuatannya di Melaka akan merangsang pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ekonomi negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauh Yusoh.
Ab Rauh berkata rancangan syarikat Amerika Syarikat itu untuk mengembangkan operasi pemasangan dan ujiannya di Melaka membuktikan kedudukan jelas negeri itu dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Beliau juga berkata pengembangan operasi syarikat itu di Melaka dapat memupuk bakat tempatan memandangkan TI telah bekerjasama dengan fakulti kejuruteraan Universiti Teknologi Melaka (UTeM) yang akan memastikan ilmu pengetahuan dan kelayakan graduan relevan dengan keperluan industri.
“Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor perindustrian dan pembuatan adalah tulang belakang pembangunan Melaka yang telah menyumbang kira-kira 37.2% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri pada 2022,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah pemasangan dan kilang ujian baharu TI di Batu Berendam, Melaka hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri mengalu-alukan rancangan tersebut yang turut meningkatkan keupayaan pembuatan kepada negeri dan negara.
“TI juga menjanjikan peluang pekerjaan kepada warga Melaka, terutama graduan baharu kami. Saya percaya ini merupakan peluang keemasan yang dinanti-nantikan generasi muda,” tambahnya.
Pada bulan lalu, MIDA telah bahawa TI merancang untuk melabur RM14.6 bilion untuk mengembangkan operasi pemasangan dan ujiannya di Kuala Lumpur dan Melaka, dengan pengeluaran dijangka bermula seawal 2025.
Pelaburan RM9.6 bilion di Kuala Lumpur akan mewujudkan 1,300 pekerjaan tempatan, manakala pelaburan RM5 bilion di Melaka akan mewujudkan 500 pekerjaan tempatan.
BACA: Texas Instruments labur RM14.6 bilion kembangkan operasi di KL dan Melaka
Naib Presiden Kanan, Operasi Pembuatan TI, Mohammad Yunus berkata syarikat itu amat yakin bahawa pelaburan di Kuala Lumpure dan Melaka akan mengukuhkan keupayaan pembuatan kolektif, kemahiran dan pengetahuan mereka.
“Cip yang kami hasilkan di sini akan menyokong pertumbuhan masa depan semikonduktor dalam elektronik, membolehkan kami memberikan jaminan bekalan yang lebih besar dan menyokong keperluan pelanggan untuk beberapa dekad akan datang,” tambahnya. - DagangNews.com