Pelaburan diluluskan Malaysia melonjak kepada RM177.8 bilion bagi tempoh Jan-Sept 2021 | DagangNews Skip to main content

Pelaburan diluluskan Malaysia melonjak kepada RM177.8 bilion bagi tempoh Jan-Sept 2021

 

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan diluluskan melonjak 51.5% tahun ke tahun kepada RM177.8 bilion, membabitkan 3,037 projek, dalam tempoh Januari-September 2021.

 

Pelaburan itu terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, dijangka mewujudkan 79,899 pekerjaan di negara ini.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi cemerlang negara ini sememangnya bukti keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan pilihan, khususnya ekosistem perniagaan yang kondusif dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi selain mempunyai ketersediaan kukuh dalam teknologi canggih.

 

"Ini dapat meningkatkan lagi peranan Malaysia sebagai tapak terkemuka dalam rangkaian pembuatan syarikat global, sekali gus melonjakkan kedudukan sebagai perintis, destinasi pelaburan terkenal di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

 

 

azmin ali
Mohamed Azmin Ali

 

 

Sektor pembuatan menyumbang 58.4%, berjumlah RM103.9 bilion daripada jumlah pelaburan, diikuti sektor perkhidmatan RM57.8 bilion (32.5%) dan sektor utama RM16.1 bilion (9.1%).

 

Pelaburan langsung asing (FDI) menguasai hampir 60% daripada pelaburan diluluskan dengan sejumlah RM106.1 bilion manakala Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda merupakan 5 negara FDI teratas yang menyumbang hampir 85.3% atau RM90.6 bilion daripada jumlah itu.

 

Menurut Mohamed Azmin, walaupun FDI menerajui pelaburan diluluskan dalam pelaburan sektor pembuatan, pelaburan oleh syarikat tempatan mendominasi dalam sektor-sektor perkhidmatan dan utama.

 

Dalam tempoh sembilan bulan itu, katanya, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM71.7 bilion atau 40.3% daripada jumlah pelaburan diluluskan.

 

"Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang menyumbang RM134.8 bilion atau 75.8% kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor," katanya.

 

Beliau berkata, sebanyak 522 projek pembuatan bernilai RM103.9 bilion telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2021, peningkatan sebanyak 60% berbanding RM64.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

“FDI memacu prestasi kukuh sektor pembuatan dalam tempoh itu, melonjak sebanyak 133.5% berbanding tempoh sama pada 2020, menyumbang 88.3% atau RM91.7 bilion daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu.

 

“Baki RM12.2 bilion (11.7%) pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan adalah daripada sumber domestik," jelasnya.

 

Kira-kira 96.8% daripada pelaburan diluluskan untuk sektor terdiri daripada elektrik dan  elektronik (E&E) (RM64.3 bilion), produk logam fabrikasi (RM14.0 bilion), produk getah (RM5.4 bilion), produk logam asas (RM5.2 bilion), pembuatan makanan ( RM4.6 bilion), kimia dan produk kimia (RM4.1 bilion), peralatan saintifik dan pengukur (RM2.1 bilion) dan peralatan  pengangkutan (RM980.8 juta). - DagangNews.com