Pelaburan RM165 juta MyCIF manfaatkan lebih 1,000 PMKS | DagangNews Skip to main content

Pelaburan RM165 juta MyCIF manfaatkan lebih 1,000 PMKS

SC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Pelaburan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) berjumlah RM165 juta melalui 5,349 kempen pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) memberi manfaat kepada 1,197 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia sehingga penghujung 2020.

 

Sejak ditubuhkan pada Oktober 2019, pelaburan bersama itu telah diagihkan dengan pelaburan sektor swasta yang berjumlah RM431 juta.

 

MyCIF yang merupakan sebuah dana yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi pihak Kementerian Kewangan (MoF), turut menghasilkan pulangan modal positif yang baik setakat penghujung tahun 2020.

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pihaknya menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu dan MyCIF telah berjaya membantu syarikat peringkat permulaan dan PMKS untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca wabak yang mencabar.

 

"MyCIF meningkatkan kecairan Pasaran ECF dan P2P untuk menyediakan pembiayaan kepada segmen ekonomi Malaysia yang kritikal ini, dan pada masa yang sama, kepada khalayak dalam kumpulan pelabur yang lebih besar.

 

"Ini telah membantu PMKS mendapatkan dana dan menggunakannya dengan segera untuk keperluan perniagaan mereka," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MyCIF ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2019 dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta untuk melabur dalam PMKS bersama pelabur swasta melalui platform ECF dan P2P.

 

Seterusnya, MyCIF telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020, di mana tambahan sebanyak RM10 juta adalah khusus untuk perusahaan sosial.

 

Laporan tahunan pertama MyCIF yang diumumkan SC hari ini meliputi aktiviti dan prestasi dana sehingga penghujung Disember 2020.

 

Pengumuman Laporan Tahunan tersebut mencerminkan komitmen MyCIF terhadap tadbir urus yang baik dan komitmennya untuk menggalakkan ketelusan dalam penggunaan dana awam dan identiti penerima dana berkenaan. - DagangNews.com