TANGKAP layar YouTube Yinson
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Langkah Yinson Holdings Berhad untuk melabur di dalam firma tenaga bersih dari Kanada, Sterling PBES Energy Solutions Ltd (SPBES) dijangka melebarkan belanjawan awal kumpulan yang diperuntukkan untuk syarikat permulaan teknologi hijau.
Penganalisis di AmInvestment Bank, Alex Goh mengunjurkan belanjawan tersebut berkemungkinan melebihi sebanyak 50% kepada AS$30 juta atau sekitar RM125.4 juta daripada AS$20 juta (sekitar RM83.6 juta).
Kata Goh, pengiraan itu turut mengambil kira pengambilalihan minoriti kumpulan sebelum ini dalam Lift Ocean, Oyika dan Movita, namun kesemua itu masih pada kadar minimum iaitu 2% daripada permodalan pasaran kumpulan.
“Dengan andaian paras ambang maksimum Yinson adalah AS$20 juta setiap pelaburan, penilaian SPBES akan menjadi 5x nilai perusahaan/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan untuk tahun kewangan 2022 (FY22), berbanding pemain penyimpanan tenaga lain seperti LG (7.3x), Wartsila Corp (10.2x), Samsung SDI (15.7x) dan Contemporary Amperex Technology Co (38.5x).
“Dengan andaian kos kepentingan pada 4% dan 10 tahun kitaran susut nilai bagi perbelanjaan modal sebanyak AS$70 juta (sekitar RM292.6 juta), kami menjangkakan pelaburan itu akan meningkatkan perolehan Yinson sebanyak 2% pada FY22 dan lebih besar sebanyak 10% pada FY23.
“Oleh itu, kami positif terhadap perkembangan ini yang juga menekankan lagi komitmen Yinson untuk mencapai neutral karbon menjelang 2030 dan penarafan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) 4 bintang,” jelas Goh dalam satu nota penyelidikan.
Yinson baru-baru ini mengumumkan unitnya di Singapura, Yinson Venture Capital Pte Ltd telah melabur dalam SPBES yang berpangkalan di Kanada.
Baca : Unit Yinson melabur dalam firma tenaga bersih dari Kanada
Sebagai tambahan kepada pelaburan itu, Yinson dan SPBES juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk usaha sama bagi mempercepatkan pelancaran penyelesaian SPBES berskala besar di beberapa negara terpilih termasuk di Asia Tenggara.
Kata Goh lagi, model perniagaan SPBES ketika ini bebas hutang, melibatkan gabungan jualan bateri awal dan kontrak perkhidmatan berjangka panjang terdiri daripada penyelenggaraan tahunan dan pertukaran sel melebihi 30 tahun.
AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Yinson dengan ramalan kewangan serta nilai wajaran tidak berubah, pada kadar RM7.20 sesaham. - DagangNews.com