Peladang sawit terpaksa guna tenaga banduan semasa COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Peladang sawit terpaksa guna tenaga banduan semasa COVID-19

sawit

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pandemik COVID-19 mengheret industri minyak sawit Malaysia ke dalam krisis kekurangan tenaga kerja yang sangat teruk hingga terpaksa menggunakan tenaga kerja dalam kalangan banduan.

Menurut Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab berkata, pihak pengeluar minyak telah menghubungi jabatan penjara untuk mencari banduan dalam kalangan penduduk tempatan untuk bekerja dalam industri sawit.

"Jumlah penjara kita cukup banyak. Terdapat beribu-ribu orang yang dikurung kerana kesalahan kecil. Inilah kumpulan sasar yang kita sedang lihat," katanya seperti dipetik Bloomberg.

Industri sawit Malaysia telah menggaji tahanan penjara sejak 2016.

Namun, tenaga kerja dalam kalangan banduan semakin diperlukan susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan buruk hingga menyebabkan kekurangan jumlah tenaga kerja.

Malaysia telah mengalami kekurangan sebanyak 36,000 pekerja sejak sebelum penularan wabak, jumlah tersebut dilihat semakin ketara selepas wabak berlaku.

Jelas beliau lagi, akibat masalah yang semakin serius itu, Malaysia berkemungkinan mengalami kerugian hingga 30% dalam aspek pengeluaran sawit.

"Meskipun harga sawit mencatatkan kenaikan, ia tidak memberi kelebihan dan manfaat sepenuhnya. Sebaliknya ia akan menjadi kerugian besar kepada industri ini dan kerajaan. 

"Masalah kekurangan tenaga kerja ini sudah lama dihadapi. Penduduk setempat kurang berminat untuk terlibat dalam industri ini meskipun mereka diberi insentif rumah, elektrik dan kemudahan sosial percuma.

"Perkara tersebut mendorong industri sawit untuk mengambil dan mengupah pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan India hingga tahap kebergantungan kepada buruh asing telah melebihi 80%," tambah Nageeb. - DagangNews.com