Pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi dijangka beri kesan minimum kepada sektor REIT, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi dijangka beri kesan minimum kepada sektor REIT, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan -  Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi hanya memberi kesan minimum kepada sektor Real Estate Investment Trust (REIT) kerana hasil keuntungan daripada penyewa adalah kurang 10% daripada jumlah ahsil keselurruhan pusat beli-belah.

 

Katanya, kadar cukai itu adalah antara 5% hingga 10% (sebelum ini dikenali sebagai cukai barangan mewah) dan ia akan mula dilaksanakan pada 1 Mei ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu kerana memiliki prospek yang seimbang terutama dalam REIT runcit.

 

"Walaupun permintaan pengguna domestik agak perlahan, namun ketibaan pelancong antarabangsa dilihat akan mengimbangi keadaan itu. Selain itu, sektor berkenaan bersama aset hospitaliti mereka juga bersedia untuk meraih manfaat daripada ketibaan pelancong ke negara ini.

 

"Bagaimanapun, REIT pejabat masih belum menunjukkan sebarang perubahan dengan lebihan bekalan berada di pasaran dan ia dilihat terus memberi tekanan kepada pengembalian sewa bagi ruang pejabat.

 

"Sementara itu, ruang industri juga bersedia menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan serta perkembangan berterusan sektor e-dagang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sunway REIT (beli; TP: RM1.89) merupakan pilihan utama HLIB dalam sektor itu kerana kepelbagaian aset selain kemudahan hospitaliti di sekitar pusat beli-belahnya seperti Sunway Pyramid.

 

Pada masa sama, Pavilion REIT (beli; TP: RM1.60) juga menjadi pilihan kerana pusat beli-belahnya, Pavilion Kuala Lumpur dilihat bakal menerima menfaat daripada peningkatan kehadiran pengunjung serta pengembalian sewa yang stabil. - DagangNews.com