Pelaksanaan GEG tidak menjadi penghalang kepada orang ramai untuk terus merokok - DARE | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan GEG tidak menjadi penghalang kepada orang ramai untuk terus merokok - DARE

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Sebanyak 89% responden percaya bahawa pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG) tidak menghalang orang ramai daripada merokok, sebaliknya mendapatkan rokok seludup, menurut tinjauan badan pemikir tempatan, Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE).

 

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, sebilangan besar majoriti (89%) turut mengatakan mereka harus dirujuk sebelum sebarang pelaksanaan GEG.

 

Beliau berkata, sebanyak 87% mengetahui butiran GEG dan membangkitkan kebimbangan bahawa kerajaan masih belum berunding dengan mereka mengenai pelaksanaan tersebut.

 

Katanya, 86% turut mengatakan GEG akan menambah kerumitan kepada perniagaan mereka.

 

"GEG yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi, belum melalui penglibatan yang mencukupi di peringkat rakyat Malaysia dan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan utama," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, DARE mengulas isu GEG susulan laporan media berhubung sebanyak 45 persatuan kedai kopi persekutuan dan negeri menolak GEG, memetik isu penguatkuasaan dan menambah kos perniagaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 45 persatuan pemilik kedai kopi seluruh negara bergabung tolak GEG

 

Pankaj berkata, pandangan yang dikongsi 45 persatuan berkenaan bukanlah tidak berasas kerana banyak perniagaan yang akhirnya terpaksa menguatkuasakan GEG ke atas pelanggan mereka, berasa bimbang dengan dasar larangan itu. 

 

 

DARE
                                                             Pankaj Kumar

 

 

Katanya, pada 2022, DARE telah menjalankan tinjauan di lapangan terhadap lebih 150 kakitangan industri runcit daripada pengendali rangkaian runcit utama, petromart dan kedai runcit di Malaysia, yang kesemuanya berkongsi kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan GEG.

 

"Berdasarkan hasil tinjauan kami, kebanyakan responden kurang pengetahuan dan tidak bersedia untuk pelaksanaan dasar GEG.

 

"Di luar kajian kami, terdapat beberapa laporan lain memetik kebimbangan sama terhadap GEG, dan ini termasuk aspek penguatkuasaan, implikasi kos, peningkatan pasaran seludup, dan juga kebebasan memilih.

 

"Ini adalah kebimbangan sebenar yang telah dibangkitkan mereka yang terjejas secara langsung oleh GEG," katanya.

 

Katanya, DARE menggesa Kementerian Kesihatan mengambil langkah proaktif untuk mendengar dan melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan yang akan terjejas dengan dasar itu. 

 

Hanya selepas itu, sekiranya kerajaan membuat keputusan termaklum mengenai cara yang betul ke hadapan kerana dasar tergesa-gesa akan membawa kesan buruk kepada Malaysia pada masa hadapan khususnya untuk perniagaan. - DagangNews.com