Pelaksanaan projek HSR Kuala Lumpur-Ipoh dijangka lonjak permintaan hartanah di wilayah utara, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan projek HSR Kuala Lumpur-Ipoh dijangka lonjak permintaan hartanah di wilayah utara, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - MIDF Research menjangkakan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi laluan Kuala Lumpur-Ipoh akan meningkatan permintaan hartanah selain memberi manfaat kepada pemaju hartanah yang mempunyai pendedahan di wilayah utara terutamanya Ipoh.

 

Katanya, menurut laporan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendedahkan projek HSR Kuala Lumpur-Ipoh sedang dikaji semula.

 

Projek itu sekiranya dilaksanakan ia akan menjadi laluan HSR pertama Malaysia di negara ini dan mengurangkan masa perjalanan kepada 40 minit.

 

Cadangan itu bagaimanapun mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan serta persetujuan daripada Kerajaan Selangor sebelum menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

 

"Kami melihat projek infrastruktur baharu yang berpotensi akan memberi manfaat kepada sektor hartanah di Malaysia kerana ia meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negeri.

 

"Dalam konteks ini, kami berpendapat Sunway Berhad (neutral, TP: RM1.84) mungkin mendapat manfaat kerana Sunway City Ipoh mempunyai lebih daripada 121.4 hektar baki tanah dengan baki Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM3.7 bilion.

 

"Selain itu, Sunway juga menyasarkan pembukaan hospital baharu di Ipoh menjelang 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor hartanah kerana prospek sektor itu kekal utuh.

 

Katanya, data terkini daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa permintaan hartanah kekal sihat manakala pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi sepatutnya menunjukkan prospek jualan baharu yang lebih baik.

 

"Selain itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tidak berubah adalah positif kepada sektor ini kerana permintaan terhadap hartanah akan kekal mendapat sokongan," katanya. - DagangNews.com