Pemegang saham Southern Score lulus cadangan lanjutan tempoh penggunaan hasil penempatan persendirian | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Southern Score lulus cadangan lanjutan tempoh penggunaan hasil penempatan persendirian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pemegang saham Southern Score Builders Bhd menerusi mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM), hari ini meluluskan cadangan melanjutkan tempoh penggunaan hasil yang diperoleh daripada penempatan persendirian yang dilakukan pada November 2022.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, menerusi langkah itu, mereka berjaya mengumpul sejumlah RM108.6 juta dan masih memiliki baki RM46 juta yang belum digunakan sehingga akhir Februari 2024.

 

Daripada baki RM46 juta itu, sejumlah RM21.8 juta akan diperuntukkan semula untuk sebarang potensi pengambilalihan dengan bakinya digunakan semula untuk pembelian bahan binaan, pembayaran balik kontraktor serta modal kerja

 

Peruntukkan yang dimaksudkan sebelum ini adalah untuk pelaburan ke dalam syarikat berksekutu serta pemerolehan asset pembinaan serta ruang pejabat.

 

Pengarah Eksekutif an Ketua Pegawai Eksekutif Southern Score, Gan Yee Hin berkata, kumpulan itu sedang mengintai peluang pengambilalihan yang akan melengkapkan perniagaan sedia ada mereka khususnya dalam bidang pembinaan mekanikal dan elektrikal.

 

Beliau berkata, langkah itu adalah selaras dengan strategi kumpulan bagi mengembangkan perkhidmatan pembinaan.

 

Katanya, kumpulan itu sedang menjalankan perbincangan aktif dengan beberapa sasaran yang berpotensi dan peruntukan semula RM21.8 juta dan kunci kira-kira kukuh pihaknya meletakkan Southern Score dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan prospek itu.

 

"Kami melihat banyak peluang dalam ruang M&E terutamanya industri berteknologi tinggi berikutan pelaburan langsung asing yang kukuh di Malaysia oleh syarikat multinasional.

 

"Ia akan mempelbagaikan aliran hasil kami dan meningkatkan nilai untuk pemegang kepentingan kami," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu mempunyai antara 18 hingga 24 bulan dari tarih EGM untuk menggunakan dana bagi tujuan yang diluluskan dan kumpulan itu juga sebelum ini telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24). - DagangNews.com