Pelaksanaan subsidi bersasar, Maybank IB unjur peningkatan inflasi pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan subsidi bersasar, Maybank IB unjur peningkatan inflasi pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan berlakunya sedikit peningkatan inflasi pada 2024 kesan daripada langkah kerajaan dalam melaksanakan pemberian subsidi bersasar secara beransur-ansur.

 

Katanya, rasionalisasi subsidi bahan api pada 2024  akan memberi tumpuan kepada menangani ketirisan bagi mengurangkan kesan inflasi dan kos sara hidup.

 

Butiran terperinci mengenai masa dan mekanisme rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan juga masih belum selesai.

 

"Dalam konteks sistem subsidi bahan api bersasar, kami menganggap pilihan 'tunai' adalah bagi mengimbangi kesan inflasi dan kos sara hidup daripada pelarasan dalam harga bahan api bersubsidi.

 

"Kad subsidi pula akan digunakan bagi peruntukan kuota bahan api bersubsidi kepada penerima yang layak.

 

"Penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) dioptimumkan bagi memudahkan pemberian susidi serta bantuan sosial selain menambah baik pemberian tunai sedia ada selain memberi perlindungan sosial selain menangani penyalahgunaan dan ketirisan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata,terdapat keperluan mendesak bagi menangani ketirisan serius berjumlah RM10 bilion daripada RM18 bilion kos tahunan subsidi diesel melalui penguatkuasaan.

 

Katanya, kerajaan perlu memastikan bahawa hanya penerima yang layak diberikan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi, yang kebanyakannya dalam pengangkutan awam.

 

"Menangani kebocoran subsidi diesel secara langsung melalui penguatkuasaan boleh meminimumkan keperluan menaikkan harga diesel bersubsidi, sekali gus mengurangkan kesan inflasi daripada kos pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi," katanya.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, 2024 seharusnya menjadi tahun yang lebih baik untuk Malaysia dalam beberapa aspek.

 

Katanya, ia akan menjadi tahun pelaksanaan pelan yang dilancarkan pada 2023, serta tahun penyampaian terutamanya dalam pembaharuan fiskal, untuk membawa keseimbangan negara.

 

"Kerja keras dan kekal berada di landasan adalah perkara penting dalam transformasi ekonomi Malaysia terutama dalam memacu serta menyokong agenda kemampanan negara bagi jangka panjang," katanya. - DagangNews.com