Pelan HIJRAH24 berupaya lonjak semula aktiviti perniagaan, pelaburan TH | DagangNews Skip to main content

Pelan HIJRAH24 berupaya lonjak semula aktiviti perniagaan, pelaburan TH

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melakukan upacara gimik pelancaran Pelan HIJRAH24 di Kuala Lumpur pada 20 April 2022.

KUALA LUMPUR 20 April - Pelan HIJRAH24 yang dilancarkan hari ini berupaya melonjakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata pelan yang merangkumi 24 inisiatif strategik bagi memacu organisasi untuk tiga tahun akan datang itu dilaksanakan demi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan TH secara berterusan.

 

Menerusi pendekatan bagi mencapai aspirasi TH, katanya, tumpuan akan terarah kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi dan didorong oleh inisiatif digitalisasi.

 

"Sejak pandemik COVID-19, banyak syarikat dan perniagaan yang terkesan serta terpaksa melakukan perubahan drastik dalam struktur operasi syarikat masing-masing.

 

"Saya pasti TH tidak terkecuali daripada berbuat demikian supaya terus kekal dan berwibawa selari arus semasa, malah organisasi ini pasti mampu mengenal pasti perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan norma baharu dan situasi terkini, selain berdaya tahan serta bersedia untuk menghadapi masa hadapan.

 

"HIJRAH24 diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan TH bagi memastikan kesinambungan serta kecemerlangannya secara berterusan.

 

"Saya juga dimaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan selari nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan serta kesyukuran," katanya ketika melancarkan HIJRAH24, di Menara TH, di sini, hari ini, Berita Harian melaporkan.

 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

 

 

PM

 

 

Memperincikan inti pati HIJRAH24, Ismail Sabri berkata, TH menetapkan enam sasaran utama, termasuk peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion menjelang 2024 berbanding RM86.5 bilion setakat 31 Mac lalu dan penambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam di Malaysia.

 

Selain itu, katanya, pelan transformasi strategik bagi tempoh 2022 hingga 2024 itu menyasarkan keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada pulangan Islamik.

 

 

PM

 

PM

 

PM

 

PM

 

 

"HIJRAH24 juga menetapkan sasaran peningkatan pengguna THiJARI melebihi empat juta orang dan indeks pembabitan anggota melangkaui 75 peratus. - DagangNews.com