Pelan induk baharu bakal tonjol Cyberjaya sebagai lokasi pelaburan teknologi | DagangNews Skip to main content

Pelan induk baharu bakal tonjol Cyberjaya sebagai lokasi pelaburan teknologi

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Oct. – Cadangan pelan induk baharu bakal menyaksikan pembangunan Cyberjaya dilaksanakan dengan susun atur yang unik, sesuai sebagai lokasi pelaburan teknologi dan inovasi.

Rancangan untuk membangunkan Cyberjaya menjadi perhatian utama pada pertemuan Majlis Pelaksanaan Cyberjaya semalam, seiring hasrat kerajaan untuk menempatkan bandar itu secara strategik di posisi yang menguntungkan dalam pelaburan sektor berkenaan.

Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, majlis itu ditugaskan untuk memberi nasihat dan memainkan peranan dalam semua perkara yang melibatkan keputusan untuk pembangunan Cyberjaya.

“Kesalinghubungan sangat penting dalam evolusi masyarakat, perniagaan, dan bandar. Perkongsian sumber dan interaksi antara pelbagai pihak berkepentingan akan membolehkan bandar ini berkembang dan berubah.

“Dalam dunia digital masa kini, bandar ini memerlukan ekosistem teknologi yang kuat untuk berkembang serta menarik pelabur.

“Dalam bidang kuasa kita sendiri, setiap anggota majlis berperanan dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan menghidupkan kembali Cyberjaya - dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang untuk mencapai tujuan ini,” katanya dalam ucapan pembukaan mesyuarat berkenaan.

 

Cyberjaya
MOHD. ZUKI ALI ketika mempengerusikan pertemuan Majlis Pelaksanaan Cyberjaya semalam.

 

Pelan induk itu bakal menyaksikan 6,960 ekar saiz tanah bandar itu dibahagikan kepada empat zon berbeza di mana setiapnya mempunyai ciri dan sumbangan unik bagi menambah baik tawaran dan peluang.

Pelan induk itu juga menggabungkan kedua-dua rancangan asal bandar dan peranan terkini dalam mempercepat kelebihan daya saing Malaysia dengan kemasukan teknologi baharu.

Bagi merealisasikannya, Majlis Pelaksanaan Cyberjaya akan berkumpul secara berkala untuk memastikan strategi dan rancangan menghidupkan kembali Cyberjaya akan dilaksanakan dengan berkesan.

Anggota majlis juga akan memutuskan hala tuju bagi masalah yang berkaitan dengan ekonomi, sosial, keselamatan, infrastruktur, dan perkara yang bersesuaian dengan pembangunan Cyberjaya. – DagangNews.com