Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov - Pos Malaysia Bhd. merekodkan hasil sebanyak RM536.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, susut 13.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan penghantaran surat yang perlahan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Bagaimanapun, kerugian sebelum cukai kumpulan bagi tempoh tersebut berkurangan kepada RM40.5 juta, berbanding RM119.4 juta yang dialami pada suku sebelumnya terutamanya didorong oleh keberkesanan pelan pemulihan termasuk pengurusan kos yang rapi.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September pula, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM206 juta, dengan hasil sebanyak RM1.66 bilion.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang masih berterusan, kumpulan mula melihat keberkesanan daripada pelan pemulihan yang telah dilaksanakan.
"Kami melipatgandakan usaha kami untuk memulihkan perniagaan, menangani jurang perkhidmatan 'asas' dan mengubah perniagaan kami untuk meletakkan Pos Malaysia sebagai penyedia pilihan untuk bungkusan e-dagang, di samping menguruskan perbelanjaan, aliran tunai dan kecairan dengan teliti.
"Malah, pasukan Pos Malaysia bekerja keras tanpa jemu untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berhubung sepanjang wabak ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih 20,000 kakitangan kami atas usaha berterusan dan tidak berbelah bahagi mereka," katanya.
Menurut beliau, memandangkan Malaysia mula membuka semula ekonomi dan pada masa sama, persekitaran dalam talian pula semakin berkembang, Pos Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Malaysia kekal berhubung dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana bangkit semula dan membawa kembali senyuman. - DagangNews.com