Pelan Pemulihan Negara: Prospek ekonomi digital semakin meyakinkan | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara: Prospek ekonomi digital semakin meyakinkan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pelan Pemulihan Negara diyakini akan menyumbang ke arah prospek ekonomi digital Malaysia yang positif, seterusnya membawa kepada pemulihan sektor teknologi.

 

Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menjangkakan kerangka yang jelas oleh kerajaan bagi pembukaan dan menghidupkan semula ekonomi itu akan membantu syarikat teknologi dan permulaan untuk membuat perancangan apabila dapat kembali beroperasi sepenuhnya kelak.

 

“MDV mengalu-alukan pengumuman baru-baru ini oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berhubung Pelan Pemulihan Negara, di mana menyeimbangkan kebajikan ekonomi sosial dan keperluan, memastikan peralihan negara yang lancar dari krisis COVID-19 semasa menerusi pembukaan semula ekonomi yang selamat. 

 

“Kami melihat pelaksanaan pelan oleh kerajaan itu tepat pada waktunya, dan disokong oleh bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi, yang akan memastikan kebangkitan ekonomi progresif untuk negara ini,” jelas anak syarikat kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Baca : PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP

 

Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor ekonomi, MDV memberitahu bahawa organisasi itu komited untuk membantu syarikat teknologi dalam meningkatkan aktiviti perniagaan mereka sejajar pelan tersebut. 

 

MDV menjelaskan bahawa organisasi itu sentiasa meningkatkan keupayaan, infrastruktur dan pembiayaannya untuk menyampaikan mandat dengan berkesan kepada syarikat teknologi kewangan di sepanjang empat fasa pelan tersebut.

 

“Sebagai tambahan kepada penyelesaian pembiayaan standard MDV, MDV juga terus menawarkan Pembiayaan Kecairan bagi Kemudahan Syarikat Permulaan Teknologi (LIFTS) yang direka untuk membolehkan mereka bersedia dari segi operasi selepas langkah penguatkuasaan COVID-19 dan ketika ini dalam proses melaksanakan fasa ketiga moratorium dan penstrukturan semula pembayaran bagi pelanggan yang layak untuk menempuh cabaran ekonomi semasa. 

 

“Ini merupakan tambahan kepada langkah-langkah lain yang diambil MDV untuk menyokong perniagaan sejajar dengan arahan Menteri Kewangan agar Syarikat Milik Kerajaan (GOC) terus memacu kegiatan ekonomi di negara ini,” tambah kenyataan itu lagi. - DagangNews.com