Pelan Pemulihan Negara tunjuk perkembangan positif | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara tunjuk perkembangan positif

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan awal bulan ini menunjukkan perkembangan positif. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini dapat dilihat apabila Kelantan,
Terengganu, Perak, Pahang, Perlis dan terbaharu, Pulau Pinang mencapai ketiga-tiga nilai ambang.

 

Katanya, ia membolehkan negeri-negeri tersebut beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2. 

 

"Berdasarkan perkembangan semasa, beberapa negeri lain juga dijangka beralih ke Fasa 2 tidak lama lagi," katanya dalam laporan Laksana ke-60 hari ini. 

 

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

 

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berperingkat.

 


Baca : Pelan Pemulihan Negara tidak mungkin gagal - Kenanga Investment

 

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan telah memutuskan supaya Pelan Pemulihan Negara ditambah baik dengan membenarkan peralihan fasa mengikut negeri sebagai langkah memberi autonomi, insentif dan harapan kepada setiap negeri untuk beralih keluar daripada Fasa 1 ke fasa-fasa seterusnya.

 

"Pendekatan ini difikirkan lebih adil, kerana membolehkan peralihan lebih awal bagi negeri-negeri yang berjaya menurunkan penularan kes COVID-19.

 

"Selain itu, negeri-negeri ini juga mencapai kapasiti ICU yang selamat dan mencatat nilai ambang penduduk dewasa yang divaksinasi, iaitu tiga nilai ambang nasional yang menjadi syarat peralihan fasa ke fasa di bawah pelan pemulihan ini," katanya. - DagangNews.com