KUALA LUMPUR 16 Jun - Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bakal memberi keyakinan kepada usahawan dan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
Optimis terhadap perkara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ekonomi negara juga mampu untuk pulih seiring dengan pelaksanaan pelan tersebut.
"Bagi Khazanah, ia merupakan satu penjelasan sekali gus memberi peluang kepada kita bersama syarikat-syarikat yang kita labur untuk merancang bagaimana kita boleh menuju ke hadapan pada masa akan datang.
"Apa yang paling mustahak adalah supaya industri yang paling teruk dilanda oleh COVID-19 seperti penerbangan dan pelancongan dapat dipulihkan.
"Ini adalah industri-industri yang memerlukan strategi-strategi yang lebih mantap dan konkrit supaya kita boleh memperjelaskan lagi bagaimana kita boleh sampai ke fasa keempat," katanya seperti dilapor Astro Awani.
Pengumuman Pelan Pemulihan Negara semalam adalah sebagai satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.
Pelan berkenaan merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan kepada data dan sains untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan harian biasa.
Pelan berkenaan merangkumi empat fasa pelaksanaan yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Setiap fasa pelan berkenaan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, faktor pemangkin kepada kejayaan pelan berkenaan adalah menerusi pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Pemulihan ekonomi adalah tertakluk kepada sama ada kita boleh mencapai Fasa Ketiga dan Fasa Keempat pelan tersebut secepat mungkin.
"Faktor kejayaan yang paling penting adalah dari segi kadar vaksinasi yang mana kalau kita boleh capai kadar vaksinasi yang tinggi secepat mungkin, maka Fasa Ketiga dan Fasa Keempat akan datang lebih cepat," jelas beliau.
Beliau turut memberi keyakinan bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat sekiranya pelan berkenaan berjalan lancar. - DagangNews.com