Pelan perlindungan komprehensif baharu PruBSN Sinar dilancar, bayaran serendah RM50 sebulan | DagangNews Skip to main content

Pelan perlindungan komprehensif baharu PruBSN Sinar dilancar, bayaran serendah RM50 sebulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan PruBSN Sinar yang merupakan pelan takaful bagi perlindungan komprehensif dan menyeluruh untuk rakyat Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pelan tersebut merupakan yang pertama di pasaran yang menawarkan sokongan kerohanian islamik sebagai perkhidmatan tambahan selain Rider Crisis Total Care (CTC), di samping pelbagai manfaat utamanya termasuk perlindungan penyakit kritikal, manfaat keadaan istimewa, rawatan komplementari dan penjagaan keluarga.

 

Beliau berkata, pelan tersebut turut menawarkan manfaat pembayaran sekali gus untuk musibah kematian dan Hilang Upaya Kekal dan Menyeluruh (TPD), malah pelanggan PruBSN itu juga dapat membuat pilihan manfaat lain seperti CTC yang melindungi 166 keadaan merangkumi penyakit kritikal dan manfaat keadaan istimewa meliputi perlindungan kesihatan mental seawal usia muda.

 

"Matlamat PruBSN adalah untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dengan penuh yakin dan menikmati ketenangan minda. 

 

“Berpandukan tujuan utama kami untuk membantu masyarakat memanfaatkan kehidupan mereka sepenuhnya, kami sentiasa berinovasi untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menyediakan penyelesaian jangka panjang pada setiap peringkat hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Wan Saifulrizal berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan dari aspek kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dalam mencapai matlamat global dan mementingkan keadaan kesihatan mental terutama bagi mereka yang sedang melalui situasi mencabar, perlindungan kesihatan mental untuk golongan dewasa dan kanak-kanak adalah aspek penting dalam pelan takaful PruBSN Sinar.

 

“Tindakan ini adalah langkah yang tepat demi memastikan kepercayaan pelanggan terhadap kami sebagai rakan perlindungan mereka,” katanya.

 

 

prubsn
Wan Saifulrizal Wan Ismail

 

 

Menurutnya, pelanggan juga boleh menambah pelbagai manfaat tambahan  seperti Medic Protector yang menyediakan perlindungan perubatan dan Accidental Protector Plus yang menyediakan manfaat pembayaran sekiranya berlaku kematian atau TPD. 

 

Katanya, pelan perlindungan asas PruBSN Sinar bermula serendah RM50 sebulan namun ia bergantung kepada jumlah perlindungan, manfaat tambahan yang dipilih serta beberapa faktor penentu yang lain.

 

“Melalui pelan ini, rakyat Malaysia boleh dilindungi seawal usia 14 hingga 70 tahun dengan jumlah perlindungan bermula dari RM10,000 hingga RM4 juta.

 

“Apa yang lebih menarik, terdapat perkhidmatan nilai tambah iaitu sokongan kerohanian Islamik menerusi kolaborasi bersama Darussyifa’, peneraju perkhidmatan Perubatan Islamik berdaftar yang menyediakan perubatan tradisional dan komplimentari di Malaysia,” katanya. 

 

Tambahnya melalui penawaran terbaharu ini, PruBSN membolehkan pelanggan untuk mendapatkan rujukan dan janji temu bagi mendapatkan rawatan perawat berpengalaman yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan. - DagangNews.com