Pelancaran 3 projek hartanah UOA Development ditangguh ke 2024, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pelancaran 3 projek hartanah UOA Development ditangguh ke 2024, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Tiga projek hartanah UOA Development Berhad dengan nilai pembangunan kasar RM1.3 bilion yang dijadualkan pelancarannya pada separuh kedua tahun ini ditangguhkan kepada tahun hadapan.

 

CGS-CIMB Research berkata, projek yang terlibat ada Desa 3, Bamboo Hill Residence dan dua blok menara pejabat di Bangsar South.

 

Katanya, pada ketika ini kumpulan itu sedang menjalankan pembangunan bagi dua projek iaitu Laurel Residence di Bangsar South dan Aster Hill di Sri Petaling. 

 

"Pada penghujung September 2023, jualan yang belum dibil berjumlah RM322.8 juta diterjemahkan kepada nisbah perlindungan .0.7x, atau keterlihatan kurang daripada setahun.

 

"Bagaimanapun, ia lebih tinggi daripada RM181 juta daripada jualan belum dibil pada akhir September 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih UOA Development susut 47% kepada RM50.9 juta ekoran hasil lemah, perbelanjaan cukai tinggi

 

Terdahulu, untung bersih UOA Development menyusut kepada RM50.9 juta pada 3QFY23 berbanding RM96.2 juta setahun lalu.

 

Hasil kumpulan juga merosot sebanyak 34.5% kepada RM107.1 juta bagi suku berkenaan berbanding RM163.4 juta pada 3QFY22 manakala perbelanjaan cukai meningkat lebih dua kali ganda kepada RM31.2 juta berbanding RM15 juta.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran untung bersih teras kumpulan bagi FY23 hingga FY25 antara 6.5% hingga 13.5% selepas mengambil kira sumbangan segmen hospitaliti serta pendapatan sewa yang lebih tinggi.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'kurang' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran RM1.68 sesaham," katanya. - DagangNews.com