Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Adham Baba ketika menaiki Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER) yang dilancarkan hari ini beserta Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional (NESTI).
KUALA LUMPUR 23 Nov – Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional (NESTI) dilancarkan hari ini dalam usaha membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik.
Platform perintis peringkat kebangsaan itu juga penting untuk kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.
Diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan NanoMalaysia Berhad (NMB) sebagai agensi pelaksana, pelancaran ini melambangkan fokus kementerian kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dan kelestarian mobiliti.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Adham Baba berkata, peruntukan pembangunan khusus sebanyak RM2 juta pertama akan diberi untuk program NESTI bermula 2022.
Katanya, program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan penginovasian (R&D&C&I) teknologi ini dijangka menarik cadangan untuk mengatasi isu strategik nasional.
"Ini termasuklah berkenaan teknologi tenaga lestari, serta mengembangkan rantaian nilai dan penciptaan perkhidmatan atau produk baharu dalam ekosistem teknologi ini yang mesra alam sekitar serta pengurangan penggunaan bahan api.
"MOSTI percaya bahawa ini merupakan langkah yang wajar dan tepat pada masanya untuk menyelaraskan keperluan industri dan seterusnya meningkatkan kadar pengkomersialan dengan lebih pesat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program tersebut yang turut dihadiri Pengerusi NanoMalaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Zawawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad.
NESTI juga memudahcara transformasi ke arah penggunaan mobiliti elektrik yang lebih meluas dalam kalangan warga Malaysia selaras dengan sasaran Neutral Karbon 2050.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak 50% daripada dana penyelidikan kerajaan akan disalurkan untuk pembangunan penerokaan dan penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Pada majlis yang sama, turut diadakan demonstrasi kenderaan elektrik bertenaga sel yang pertama untuk kegunaan di dalam industri sukan permotoran di Malaysia.
Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER) ini dikuasai oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Hidrogen dan Hibrid NanoMalaysia (H2SS), yang berpotensi untuk memacu sektor automotif dan pengangkutan Malaysia menuju ke arah industi tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga hidrogen hijau.
H2SS adalah gabungan sistem penyimpanan tenaga hibrid dengan bateri lithium ion (Li-Ion) dan ultracapacitor berasaskan graphene, serta susunan sel bahan api dengan sistem penjanaan hidrogen.
Penggunaan penjanaan hidrogen di dalam sistem H2SS ini membolehkan ketumpatan kuasa yang lebih tinggi dan pengecasan pantas berbanding kenderaan berasaskan Li-Ion konvensional.
Adham menyifatkan pelancaran NESTI dan HyPER menjadi bukti kesediaan MOSTI dan NanoMalaysia untuk mengambil bahagian dalam sektor teknologi tenaga lestari bagi memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang seimbang.
"Adalah jelas bahawa pengenalan HYPER ini adalah bertepatan dengan visi MOSTI yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga.
"Diharapkan industri sukan permotoran yang mempunyai pembangunan pantas akan mendapat manfaat daripada HYPER dan seterusnya kepakaran yang diperoleh dapat dimanfaatkan pula oleh sektor-sektor lain kelak," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Rezal Khairi berkata, NanoMalaysia menyasarkan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang menghasilkan komponen dan sistem penyimpanan tenaga berteknologi tinggi untuk penggunaan domestik dan pasaran eksport.
"Pelancaran ini menjadi bukti kesediaan industri nanoteknologi NanoMalaysia dan rakan penyelidikan untuk mewujudkan garis dasar yang kukuh dalam sektor ini.
"Ia juga mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mengambil bahagian dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutama dalam rantaian nilai dan bekalan serantau bagi kenderaan elektrik dan pemasangan panel solar," jelas beliau. - DagangNews.com