Pelancaran Toyota Vios baharu, perkukuh kedudukan sebagai peneraju jenama kereta bukan nasional di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelancaran Toyota Vios baharu, perkukuh kedudukan sebagai peneraju jenama kereta bukan nasional di Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Mac - UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios, sedan subkompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional Malaysia dengan lebih setengah juta unit terjual sejak diperkenalkan pada 2003. 

 

UMW Toyota dalam satu kenyataan berkata, pelancaran model baharu itu mampu memperkukuhkan  kedudukan syarikat tersebut sebagai peneraju jenama kereta bukan nasional di Malaysia.

 

Model baharu itu menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas dan dilengkapi teknologi baharu menjadikannya pilihan lebih menarik kepada pelanggan yang sedang mencari kereta yang boleh dipercayai, cekap dan mampu milik.

 

Presiden UMW Toyota, Datuk K. Ravindran berkata, penggunaan teknologi termaju dalam proses pemasangan Toyota Vios serba baharu itu bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluarannya, malah menggalakkan lagi peningkatan kemahiran tenaga kerja, memupuk pengembangan pengetahuan dalam industri dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan. 

 

Tambahnya, mereka berbangga kerana dapat memacu pertumbuhan negara menerusi komitmen terhadap standard kualiti dan proses pembuatan yang inovatif.

 

“Maklum balas terhadap Toyota Vios Serba Baharu adalah luar biasa dengan jumlah tempahan melebihi 5,000 unit sejak pengumuman tempahan dibuka pada 24 Februari 2023. Ini adalah bukti populariti kereta tersebut di pasaran Malaysia.

 

“Kami teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios Serba Baharu yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan kami,” katanya.

 

Vios serba baharu, ciri-ciri menarik luaran dan dalaman

 

Toyota telah menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi yang di naik taraf bagi menyediakan nilai terunggul dalam pemilikan Toyota Vios serba baharu. 

 

Enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi yang lebih kukuh, manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.

 

Toyota Safety Sense (TSS) menawarkan ciri keselamatan lebih baik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang, selain mampu memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah atau mengelakkan pelanggaran. 

 

Pemandu juga akan dapat menikmati paparan gred tinggi dan keselesaan yang lebih baik dengan tempat duduk hadapan yang direka bentuk semula untuk posisi pemanduan selesa serta sokongan yang lebih baik. 

 

Fungsi baharu seperti Paddle Shifters dan Electronic Parking Brake menambahkan lagi kemudahan kepada semua pemandu.

 

Standard pembuatan tiada tandingan Vios serba baharu

 

Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, model ini memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan “Toyota Way”. 

 

Tarikan baharu Toyota Vios ialah ia menjadi kenderaan pertama yang menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan. 

 

Menggunakan Ultra High Tensile Materials, Continuous Frame Design, dan Increased Welding Spots memberikan ia ketegaran bahan kereta yang lebih tinggi selain ia turut mengurangkan jisimnya. 

 

Ruang enjin juga direka semula bagi mengurangkan titik putus bentuk, seterusnya ia dapat mengurangkan lagi beratnya. - DagangNews.com