Pelancong Thailand boleh lakukan pembayaran DuitNow QR di Malaysia menerusi Boost | DagangNews Skip to main content

Pelancong Thailand boleh lakukan pembayaran DuitNow QR di Malaysia menerusi Boost

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Pelancong Thailand yang ingin berbelanja di Malaysia kini boleh membuat bayaran rentas sempadan tanpa tunai menggunakan aplikasi Boost.

 

Ciri transaksi lancar serba baharu ini akan memudahkan pelancong menggunakan e-Dompet masing-masing untuk membuat pembayaran tanpa perlu menggunakan wang tunai. 

 

Pelancong hanya perlu mengimbas Kod QR DuitNow Boost, yang akan mengenal pasti lokasi secara automatik semasa pengguna berada di Malaysia. 

 

Pengguna akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam Ringgit Malaysia (RM) dan tukaran automatik akan dipotong daripada e-Dompet negara asal dengan peniaga Boost akan menerima bayaran dalam RM.

 

Dalam fasa pertama, kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand. Institusi kewangan Thailand yang turut serta untuk mengimbas Kod QR DuitNow Boost di Malaysia ialah CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya teruja untuk menawarkan ciri kelebihan ini kepada pelancong serantau menerusi kerjasama dengan rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet. 

 

Katanya, tawaran baharu kepada peniaga itu bermatlamat untuk meluaskan rangkaian pelanggan selain membolehkan pelancong menikmati transaksi ringkas dalam mata wang sendiri dan hampir lebih setengah juta peniaga menawarkan kemudahan itu. 

 

"Kami berhasrat untuk turut menawarkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura serta kawasan lain di liputan PayNet dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hampir 200,000 peniaga yang menawarkan Kod QR DuitNow Boost boleh didapati di tempat-tempat tarikan pelancong di serata Malaysia seperti Bukit Bintang, Jonker Walk dan Kota Syahbandar.

 

Pusat seni jalanan di Lebuh Armenian dan juga lokasi pilihan penggemar makanan seperti Pasar Chowrasta dan juga Medan Selera Persiaran Gurney di Pulau Pinang selain Perkampungan Budaya Sarawak, di Santubong atau Pasar Sentral dan Pasar Malam Sibu. - DagangNews.com